SUBANG JAYA, 15 JAN: Wakil rakyat Subang Jaya berhasrat menambah laluan basikal di sekitar StesenTransit Aliran Ringan (LRT) Subang Jaya dan LRT SS15 menggunakan peruntukan Projek Selangor Penyayang (PSP).
Michelle Ng Mei Sze berkata kemudahan berkenaan bertujuan mengurangkan kebergantungan pengguna kemudahan awam terhadap kereta sekali gus mengatasi masalah trafik terutamanya ketika waktu puncak.
“Kita akan memanjangkan laluan basikal ini setiap tahun dengan peruntukan PSP, yang juga merupakan dana tahunan Kerajaan Negeri kepada pejabat Ahli Dewan Negeri,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lukisan mural di sekitar Stesen LRT SS15 di sini.

Bercakap kepada pemberita, Mei Sze memberitahu Majlis Bandaraya Subang Jaya memperoleh kelulusan kotak percubaan (sandbox) mikromobiliti daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia pada Disember lalu.
Menurutnya, kelulusan tersebut membolehkan perkhidmatan mikromobiliti seperti e-skuter dapat beroperasi di bandar raya berkenaan sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Perkhidmatan mikromobiliti memainkan peranan penting terutamanya dalam menghubungkan laluan ke stesen LRT. Ia dapat kurangkan penggunaan kereta dan menyelesaikan masalah kekurangan tempat letak kenderaan.
“Tujuan pelaksanaan sandbox ini juga untuk memberi MIROS ruang untuk mengkaji undang-undang yang boleh diperhalusi bagi menjamin keselamatan jalan raya,” katanya.
The post Perluas laluan basikal sekitar LRT Subang Jaya, SS15, elak trafik sesak waktu puncak appeared first on Selangorkini.


