
KUCHING: Penganjuran pertandingan yang mengetengahkan konsep Rukun Negara perlu diperluas ke kawasan kampung dan pedalaman di negeri ini bagi menyemai semangat patriotisme dalam kalangan pelajar sekolah di lokasi berkenaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (gambar) berkata kerjasama antara wakil rakyat dengan Jabatan Penerangan (Japen) diperlukan untuk mengembangkan inisiatif sedemikian.
“Harapan saya agar program sebegini boleh diadakan kerap dan bawa program ini ke kawasan saya (Samariang) terutamanya di kampung-kampung. Menerusi kerjasama ini, rakyat boleh berhibur sambil menerapkan nilai patriotisme dalam diri khususnya mengenai kemerdekaan dan Rukun Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pertandingan Sketsa Rukun Negara 2023 peringkat Sarawak di Yayasan Sarawak, hari ini.
Menurut Sharifah Hasidah, berbaki 10 hari lagi sebelum sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini, orang ramai disarankan agar menonjolkan semangat patriotisme bukan sekadar simbolik semata-mata, bersempena dengan Bulan Kebangsaan.
Pertandingan berkenaan menyaksikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Anthony, Sarikei merangkul gelaran juara menerusi sketsa bertajuk “Kenapa Perlu Pilih Satu, Sedangkan Kita Boleh Pilih Lima?’’, sekali gus mewakili Sarawak ke pertandingan Sketsa Rukun Negara peringkat Kebangsaan pada Oktober ini.
Kemenangan berkenaan turut membolehkan sekolah itu membawa pulang hadiah piala, wang tunai sebanyak RM2,000, sijil penghargaan dan plat kemenangan.
Naib johan pula dimenangi SMK Julau yang mendapat hadiah wang tunai RM1,500, manakala SMK Jalan Arang, Kuching di tempat ketiga dengan hadiah sebanyak RM1,000.
Pertandingan sketsa Rukun Negara ialah program tahunan anjuran Japen bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bertujuan memupuk semangat patriotik dan cintakan negara melalui aktiviti lakonan bagi meningkatkan keberkesanan penghayatan Rukun Negara. -Bernama



