‘Perlumbaan’ kenderaan eVTOL, teksi terbang di ambang realiti

WorldTechnology
11 Aug 2026 • 11:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Perlumbaan’ kenderaan eVTOL, teksi terbang di ambang realiti

BAYANGKAN perjalanan dari pusat bandar ke lapangan terbang yang lazimnya mengambil masa hampir satu jam dapat dipendekkan kepada hanya sekitar 10 hingga 15 minit.

Senario yang suatu ketika dahulu hanya muncul dalam filem sains fiksyen kini semakin menghampiri realiti menerusi pembangunan teksi terbang atau lebih dikenali sebagai electric Vertical Take-Off and Landing (eVTOL).

Kenderaan udara generasi baharu ini bukan sekadar menawarkan kaedah pengangkutan yang lebih pantas, malah menjadi simbol kepada evolusi mobiliti bandar yang lebih pintar, lestari dan berasaskan teknologi elektrik.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat penerbangan, pengeluar pesawat, syarikat automotif serta kerajaan di pelbagai negara berlumba-lumba membangunkan ekosistem Advanced Air Mobility (AAM) sebagai pelengkap kepada sistem pengangkutan awam sedia ada.

Antara yang menarik perhatian ialah syarikat Joby Aviation di Amerika Syarikat baru-baru ini yang telah berjaya melakukan penerbangan percubaan kenderaan eVTOL dari Manhanttan ke New York.

Berbeza dengan helikopter konvensional, teksi terbang eVTOL menggunakan beberapa motor elektrik dan kipas berputar yang membolehkannya berlepas serta mendarat secara menegak tanpa memerlukan landasan panjang.

Sebaik sahaja mencapai altitud tertentu, pesawat akan beralih kepada mod penerbangan mendatar yang jauh lebih cekap dari segi penggunaan tenaga. Gabungan sistem ini bukan sahaja mengurangkan penggunaan bahan api fosil, malah menghasilkan bunyi yang kurang bising berbanding helikopter.

Image from: ‘Perlumbaan’ kenderaan eVTOL, teksi terbang di ambang realiti
JOBY Aviation dari Amerika Syarikat merupakan antara pihak yang sedang giat menjalankan ujian penerbangan bagi merealisasikan misi pengangkutan awam udara secara skala besar menggunakan kenderaan eVTOL.

Kebanyakan model turut direka menggunakan bahan komposit ringan seperti gentian karbon bagi meningkatkan kecekapan tenaga dan memaksimumkan jarak penerbangan.

Menurut pakar dari Universiti Kebangsaan Bangladesh, Sumon Sarkar dalam kertas kajiannya, keupayaan teknologi eVTOL banyak bergantung kepada inovasi dalam pembangunan bateri berketumpatan tenaga tinggi.

“Pengeluar kini menggunakan pek bateri litium generasi baharu yang mampu menyimpan lebih banyak tenaga tanpa meningkatkan berat pesawat secara ketara.

“Pada masa sama, sistem pengurusan bateri pintar sentiasa memantau suhu, voltan dan prestasi setiap sel bagi memastikan operasi lebih selamat,” terangnya.

Tambah Sumon, selain itu, teknologi pengecasan pantas membolehkan pesawat kembali beroperasi dalam tempoh yang singkat, sekali gus meningkatkan kecekapan operasinya.

Satu lagi elemen penting ialah penggunaan kecerdasan buatan (AI), penderia digital dan sistem kawalan penerbangan autonomi.

Image from: ‘Perlumbaan’ kenderaan eVTOL, teksi terbang di ambang realiti
Dubai antara yang agresif untuk menyegerakan penggunaan eVTOL menjadi realiti.

Teknologi ini membolehkan pesawat menganalisis keadaan cuaca, halangan udara, trafik penerbangan dan prestasi komponen secara masa nyata sebelum membuat pelarasan penerbangan secara automatik.

Walaupun kebanyakan teksi terbang komersial pada fasa awal masih dikendalikan juruterbang, majoriti pengeluar sedang membangunkan keupayaan autonomi sepenuhnya pada masa hadapan.

AI juga memainkan peranan penting dalam perancangan laluan, penyelenggaraan ramalan (predictive maintenance) dan pengoptimuman penggunaan tenaga, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan serta kebolehpercayaan operasi.

Pakar pengangkutan awam darI Amerika Syarikat, Paul Comfort berkata, bagi menyokong operasi harian, konsep vertiport turut menjadi komponen utama dalam pembangunan ekosistem teksi terbang.

“Vertiport ialah hab khas yang menyediakan kawasan berlepas dan mendarat, kemudahan pengecasan elektrik, pusat penyelenggaraan serta integrasi dengan pengangkutan darat seperti kereta api, bas dan robot teksi.

“Pendekatan ini membolehkan penumpang bergerak secara lancar dari satu mod pengangkutan ke mod yang lain tanpa gangguan,” ujarnya.

Image from: ‘Perlumbaan’ kenderaan eVTOL, teksi terbang di ambang realiti
Pesawat eVTOL atau ‘teksi udara elektrik’ sedang diuji di beberapa buah negara pada masa ini.

Katanya lagi, pembangunan vertiport juga memerlukan sistem pengurusan trafik udara digital yang mampu menyelaras ratusan penerbangan altitud rendah secara serentak dengan tahap keselamatan tinggi.

Dari sudut perkembangan semasa juga, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) muncul antara negara paling agresif dalam merealisasikan operasi teksi terbang.

Dalam penulisan di portal International Trade Administration, Dubai merancang melancarkan perkhidmatan komersial menggunakan pesawat eVTOL sebagai sebahagian daripada strategi Advanced Air Mobility negara itu.

Kerjasama antara pihak berkuasa pengangkutan Dubai dengan pengeluar seperti Joby Aviation bukan sahaja melibatkan pembangunan pesawat, malah pembinaan rangkaian vertiport di beberapa lokasi strategik termasuk lapangan terbang dan pusat bandar.

Inisiatif ini dijangka menjadikan Dubai antara bandar pertama di dunia yang menawarkan perkhidmatan teksi terbang secara meluas kepada orang awam.

Di Amerika Syarikat pula, pembangunan industri eVTOL dipacu oleh syarikat seperti Joby Aviation, Archer Aviation, Beta Technologies dan Wisk Aero.

Joby Aviation mengeluarkan kenderaan eVTOL yang mampu membawa empat penumpang dengan seorang juruterbang. Bergerak dengan bantuan enam kipas berputar, ia mampu terbang setinggi 300 meter sejauh 160 kilometer.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) sedang mempercepat proses pensijilan melalui program integrasi eVTOL bagi mengumpulkan data operasi sebenar sebelum kelulusan penuh diberikan.

Langkah ini bertujuan memastikan eVTOL dapat beroperasi dengan selamat dalam ruang udara sedia ada yang turut digunakan pesawat komersial dan dron.

Image from: ‘Perlumbaan’ kenderaan eVTOL, teksi terbang di ambang realiti
Tempat duduk yang selesa untuk penumpang teksi terbang.

Pada masa sama, beberapa syarikat telah memperluas pembangunan infrastruktur serta meningkatkan kapasiti pengeluaran pesawat sebagai persediaan permintaan pasaran sebaik sahaja pensijilan selesai.

China turut menunjukkan kemajuan pesat dalam sektor mobiliti udara pintar. Negara itu memberi tumpuan kepada pembangunan pesawat autonomi dan ekosistem bandar pintar yang membolehkan operasi eVTOL disepadukan dengan rangkaian pengangkutan digital.

Pendekatan ini selari dengan usaha China mempercepat pembangunan ekonomi altitud rendah yang merangkumi dron, logistik udara dan teksi terbang sebagai sektor pertumbuhan baharu.

Walaupun prospeknya amat memberangsangkan, industri teksi terbang masih berdepan beberapa cabaran utama.

Kata Comfort, antaranya ialah kos pembangunan yang tinggi, kapasiti bateri yang masih terhad, keperluan membina infrastruktur vertiport dalam skala besar serta proses pensijilan keselamatan yang sangat ketat.

“Selain itu, isu pengurusan trafik udara, bunyi bising, penerimaan masyarakat dan perlindungan keselamatan siber turut menjadi fokus penyelidikan kerana operasi ratusan pesawat autonomi di ruang udara bandar memerlukan sistem komunikasi yang amat kukuh dan bebas daripada ancaman penggodaman.

“Namun begitu, prospek jangka panjang industri ini kekal positif. Pelbagai laporan pasaran antarabangsa mengunjurkan pertumbuhan kukuh industri eVTOL sepanjang dekad akan datang, didorong oleh kemajuan teknologi bateri, peningkatan pelaburan serta sokongan dasar kerajaan terhadap pengangkutan rendah karbon,” kongsinya.

Jelasnya lagi, selain membawa penumpang, teknologi sama turut berpotensi digunakan untuk penghantaran barangan bernilai tinggi dan bantuan kecemasan di kawasan sukar diakses.

Ternyata gabungan teknologi elektrik, AI, automasi, bateri berprestasi tinggi dan pengurusan trafik udara digital bakal mengubah cara manusia bergerak di kawasan bandar pada masa hadapan.

Walaupun perjalanan menuju operasi berskala besar masih memerlukan penyelesaian terhadap pelbagai cabaran teknikal, momentum pembangunan yang sedang berlaku di AS, UAE, China dan beberapa negara lain menunjukkan era mobiliti udara bandar semakin hampir menjadi sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat moden.

The post ‘Perlumbaan’ kenderaan eVTOL, teksi terbang di ambang realiti appeared first on Kosmo Digital.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved