Permaisuri Agong antara 97 dikurnia darjah sempena Hari Keputeraan Sultan

11 Dec 2023 • 12:08 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available
1

KLANG, 11 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan mengurniakan darjah dan bintang kebesaran kepada 97 penerima termasuk Raja Permaisuri Agong sempena Hari Keputeraan ke-78 Baginda hari ini.

Keberangkatan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Baginda menganugerahkan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (D.K) kepada Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ahli Dewan Diraja Selangor Tengku Dato’ Setia Putra Alhaj Tengku Azman Shah Alhaj mendahului penerima dengan penganugerahan Darjah Kerabat Selangor Kedua (D.K.II).

Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Dato’ Seri diberikan kepada Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, Ketua Polis Negara Tan Sri Razaruddin Husain dan Pengarah Urusan YTL Power International Berhad Dato’ Yeoh Seok Hong.

image is not available
DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Selangor Kedua (D.K.II) kepada Ahli Dewan Diraja Selangor, Tengku Dato’ Setia Putra Alhaj Tengku Azman Shah Alhaj sempena Hari Keputeraan ke-78 di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pada 11 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Manakala Darjah Kebesaran Dato’ Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S.) yang membawa gelaran Dato’ Setia diberi kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim dan Pakar Runding Urologi Pusat Perubatan Subang Jaya Prof Dato’ Dr Tan Hui Meng.

Sembilan penerima dianugerah Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) yang membawa gelaran Dato’ antaranya Pegawai Kewangan Negeri Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Suee Lim dan Ketua Polis Selangor Dato’ Hussein Omar Khan.

Darjah Kebesaran Dato’-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) yang membawa gelaran Dato’ diberi kepada 13 individu antaranya Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya Mohd Fauzi Mohd Yatim, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang Noraini Roslan, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Dr Yusri Zakariah dan Timbalan Mufti Selangor Prof Madya Dr Miszairi Sitiris.

Seramai 15 penerima lagi dianugerah Darjah Setia Mahkota Selangor (S.M.S) antaranya Pengarah Bomba Selangor Wan Md Razali Wan Ismail dan Pegawai Daerah Hulu Selangor Mohamad Hanafe Basri.

Manakala 13 individu dikurniakan Darjah Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S) antaranya Ketua Polis Daerah Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) Yong Kai Ping.

image is not available
DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan memeriksa perbarisan sempena Hari Keputeraan ke-78 di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pada 11 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) diberi kepada 15 penerima antaranya Ketua Jabatan Operasi KD PELANDOK Komander Mohd Zulkiflee Markam dan Pengarang Kumpulan Media Selangor Sdn Bhd Wan Muhammad Paris Wan Omar.

Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S) diberi kepada 16 penerima antaranya Penolong Kanan Penguasa Bomba Juyana@Azlan Musa dan Pengurus Besar Sektor Kewangan dan Khidmat Pengurusan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor Noraini Mohamad Ramlan.

Manakala, dua penerima dikurniakan Bintang Kecemerlangan Sukan Selangor (B.K.S) iaitu jurulatih gimrama Majlis Sukan Negeri Shak Yuki dan pemain badminton beregu wanita negara M Thinaah.

Bagi Bintang Perkhidmatan Cemerlang (B.P.C) pula diberi kepada tujuh individu antaranya Ketua Pegawai Kewangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Dr Azlina Jaapar dan Guru Besar Sekolah Rendah Agama Dato’ Abu Bakar Baginda Rafidah Toraji.