amree03/06/2026 - 09:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Jun — Di sebalik kebimbangan terhadap pertumbuhan jualan kenderaan elektrik (EV), PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) masih berada di kedudukan kukuh mengekalkan momentum hasil.
Menurut MBSB Research, jualan EV dilihat tidak menghakis permintaan bahan api, dan mendorong firma penyelidikan itu menaik taraf saranan saham syarikat tersebut kepada 'beli' daripada 'neutral' sebelum ini.
Ia turut menaikkan harga sasaran (TP) sesaham kepada RM22.46 berbanding RM22.20 sebelum ini, selepas menyemak semula penilaiannya, meskipun mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan berkenaan.
"Keputusan kewangan suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26) PDB menepati jangkaan dengan untung teras berjumlah RM292 juta hanya susut tipis 0.1% tahun ke tahun (YoY)," jelasnya dalam analisis.
Tambah MBSB Research, hasilnya melonjak 23% kepada RM11.2 bilion, disumbangkan oleh segmen runcit yang meningkat 34% kepada RM6.3 bilion, didorong kenaikan harga jualan purata (ASP) sebanyak 25%.
Di samping itu ujar firma berkenaan, pertumbuhan volum jualan bertambah sebanyak 8%, terutamanya bagi produk Mogas susulan pelaksanaan skim BUDI95 serta peningkatan trafik sempena musim perayaan.
Keuntungan operasi segmen itu turut melonjak 68% kepada RM325 juta hasil pergerakan harga 'Mean of Platts Singapore' (MOPS) yang lebih tinggi serta permintaan lebih kukuh bagi Mogas dan diesel.
"Bagaimanapun segmen komersial lemah apabila perolehan kasar susut 88% kepada RM23 juta akibat trend harga MOPS yang kurang memihak bagi bahan api penerbangan Jet A1," kata MBSB Research lagi.
Permintaan domestik ujarnya, namun kekal berdaya tahan disokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.4% pada suku pertama 2026, dan pasaran pekerjaan tempatan yang stabil.
Firma penyelidikan tersebut turut berpandangan inisiatif bekerja dari rumah (WFH) dalam sektor awam setakat ini masih belum memberi kesan secara ketara terhadap permintaan bahan api dijual PDB.
Pada masa sama jelas MBSB Research, walaupun pegangan EV dalam jualan kenderaan baharu meningkat kepada 12% daripada jumlah jualan keseluruhan, impaknya terhadap jualan bahan api masih terhad.
"Keadaan tersebut berikutan harga jualan EV sendiri yang dilihat secara relatif sebagai amat tinggi serta pembangunan infrastruktur pengecasan luar yang masih berkembang perlahan," tambahnya.
Ia melihat strategi PDB mengembangkan segmen bukan bahan api seperti Café Mesra dan ekosistem Setel, selain penguasaan rangkaian pengecas EV di seluruh negara, sebagai antara faktor sokongan.
Peralihan PDB ke arah model pemain utiliti runcit hibrid, dengan kedudukan kewangan kukuh serta hasil dividen lebih 5%, memberikan asas pertumbuhan menarik dalam persekitaran semakin berubah.
Sehubungan itu, MBSB Research masih mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan tersebut sambil menaik taraf saranan saham syarikat berkenaan kepada 'beli'. - DagangNews.com






