Permintaan domestik melonjak 4.8% pada suku ketiga 2023 didorong pasaran buruh berdaya tahan - PM Anwar
zulfadli
17/11/2023 - 18:03
KUALA LUMPUR 17 Nov - Permintaan domestik melonjak sebanyak 4.8% pada suku ketiga 2023 dengan pasaran buruh yang berdaya tahan dan disokong sektor pelancongan yang bertambah kukuh, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ekonomi Malaysia pada suku ketiga 2023 dipacu permintaan domestik, manakala keadaan global kekal lemah dan tidak menentu.
Beliau berkata, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada suku ketiga 2023 meningkat 3.3% menjadikan pertumbuhan dalam tempoh sembilan bulan 2023 sebanyak 3.9%, yang mana angka itu selaras dengan unjuran kerajaan iaitu sekitar 4% bagi 2023.
Dari segi penawaran katanya, pertumbuhan ekonomi Malaysia didorong pengembangan dalam sektor perkhidmatan (5%), pertanian (0.8%) dan pembinaan (7.2%).
"Walau bagaimanapun, pertumbuhan tersebut berhadapan dengan penguncupan kecil dalam sektor pembuatan (0.1%) dan perlombongan & pengkuarian (0.1%). Sementara itu, jumlah dagangan menyusut sebanyak 15.7% kepada RM653.3 bilion.
"Permintaan domestik yang dinamik mencerminkan usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memulihkan kerancakan ekonomi Malaysia. Pembaharuan fiskal pada peringkat awal yang dilaksanakan kerajaan telah menjana penjimatan dan hasil lebih tinggi yang diagihkan semula kepada rakyat secara langsung atau tidak langsung," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, pasaran buruh terus bertambah baik dengan kadar pengangguran berkurang kepada 3.4% pada suku ketiga 2023 iaitu pengurangan bilangan penganggur sebanyak 1.4% berbanding suku sebelumnya.

Inflasi turut menyederhana kepada 2% berbanding 2.8% pada suku kedua 2023 yang disokong subsidi kepenggunaan kerajaan untuk mengimbangi kenaikan harga perkhidmatan dan makanan, katanya.
Anwar berkata, pada September 2023, peningkatan Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia sebanyak 1.9% adalah jauh lebih baik berbanding negara maju dan serantau terpilih seperti UK (6.7%), Filipina (6.1%), Singapura (4.1%), Amerika Syarikat (3.7%) dan Indonesia (2.3%).
Beliau berkata, di samping pasaran domestik yang terus bertambah baik, pemulihan dalam industri elektrikal dan elektronik (E&E) dijangka memberikan kesan positif kepada pasaran eksport pada suku keempat 2023.
Katanya, melangkah ke tahun 2024 dan seterusnya, kerajaan akan meneruskan pelaksanaan pembaharuan ekonomi seperti yang dinyatakan dalam rangka kerja Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang disokong oleh dokumen dasar utama seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas.
"Bidang tumpuan termasuk meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan, menggalakkan pelaburan berkualiti untuk menjana pekerjaan berpendapatan tinggi, memastikan tadbir urus yang baik serta menambah baik perkhidmatan dan infrastruktur awam ke arah meningkatkan kualiti hidup rakyat.
"Belanjawan 2024 akan merealisasikan pembaharuan fiskal dan ekonomi oleh Kerajaan MADANI secara efektif dengan memperkenalkan lebih banyak inisiatif untuk mencapai visi yang ditetapkan dalam Ekonomi MADANI," katanya.
Katanya, kerajaan akan terus mengurangkan defisit fiskal daripada 5% pada 2023 kepada 4.3% pada tahun 2024, dan ia tetap teguh dengan pendirian dasar fiskal mengembang untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dan meringankan beban kos sara hidup rakyat.
"Prestasi memberangsangkan pada suku ketiga 2023 memberikan isyarat kukuh untuk trajektori positif bagi Malaysia mencapai daya tahan ekonomi dan menyokong penstrukturan semula ekonomi seperti yang dihasratkan di bawah Ekonomi MADANI," katanya.
Walau bagaimanapun katanya, ketegangan geopolitik telah memberikan kesan domino, berikutan gangguan berterusan dalam rantaian bekalan antarabangsa dan peningkatan kadar faedah global.
Katanya, situasi tersebut memuncak dengan kemerosotan dalam permintaan luaran yang mendedahkan ekonomi negara kepada risiko yang mungkin berlarutan dalam jangka masa sederhana.
"Usaha bagi mengekang risiko ini bertitik tolak daripada inisiatif berterusan kerajaan untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) bernilai tinggi. Pada suku ketiga 2023, FDI bersih telah melebihi dua kali ganda berbanding suku sebelumnya kepada RM7.2 bilion (suku kedua 2023: RM3.1 bilion).
"Aktiviti kewangan dan insurans/takaful; maklumat dan komunikasi serta sektor perdagangan borong dan runcit menarik FDI tertinggi terutamanya dari Hong Kong, China, UK, Singapura dan Jepun.
"Melangkah ke hadapan, lebih banyak usaha akan digerakkan untuk menarik FDI dalam sektor pembuatan bernilai tinggi khususnya untuk E&E, petrokimia dan tenaga boleh diperbaharui," katanya. - DagangNews.com

