
PETALING JAYA: Permintaan terhadap perkhidmatan pengujian, pensijilan, kalibrasi dan latihan yang ditawarkan SIRIM meningkat 48 peratus dalam tempoh setahun, hampir tujuh kali ganda berbanding pertumbuhan tujuh peratus pada tahun sebelumnya.
Peningkatan itu mencerminkan keperluan semakin tinggi dalam kalangan syarikat untuk membuktikan produk, proses dan tenaga kerja mereka memenuhi piawaian yang menjadi prasyarat kepada akses pasaran domestik dan antarabangsa.
Pertumbuhan berkenaan direkodkan merentasi keseluruhan perkhidmatan SIRIM dengan seramai 28,700 pelanggan menerima perkhidmatan sepanjang tahun berkenaan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Nik Sazali Nik Hussin, berkata peningkatan 48 peratus itu menunjukkan perubahan dalam landskap industri Malaysia apabila bukti pematuhan semakin menjadi keperluan penting bagi membolehkan syarikat menembusi pasaran.
“Di bawah RMK13 dan NIMP 2030, negara mahu syarikat Malaysia bergerak ke sektor bernilai lebih tinggi dan di sinilah SIRIM memberikan nilai terbesar.
“Kami sedang mengautomasikan dan mendigitalkan proses supaya syarikat hanya menunggu beberapa hari berbanding beberapa minggu kerana produk yang selesai diuji lebih awal boleh dilancarkan, dikembangkan dan dieksport lebih cepat,” katanya.
Menurut beliau, SIRIM turut membangunkan keupayaan lebih awal bagi memenuhi permintaan yang bakal muncul apabila syarikat Malaysia menceburi bidang seperti pelaporan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV), semikonduktor, peranti perubatan dan aeroangkasa.
Ujarnya, langkah itu penting bagi memastikan kemudahan untuk membuktikan pematuhan tersedia dalam negara dan tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada penyedia perkhidmatan di luar negara.
“Bekerjasama dengan kementerian dan pengawal selia yang membentuk keutamaan ini, tugas kami adalah memastikan kapasiti bergerak seiring dengan aspirasi negara,” katanya.
Dalam tempoh sama, SIRIM turut diberi tanggungjawab mengurus dana pembangunan berjumlah RM474.39 juta menerusi pelbagai program nasional, termasuk RM300 juta di bawah NIMP Industrial Development Fund.
Komitmen terhadap kecekapan turut diterjemahkan menerusi pengurangan tempoh pemprosesan sehingga 98 peratus bagi bidang pengujian terpilih pada 2025.
Tempoh pusing ganti bagi beberapa kategori termasuk peralatan elektrik dan produk keselamatan turut dipendekkan antara empat hingga tujuh hari. – UTUSAN
The post Permintaan perkhidmatan SIRIM melonjak 48 peratus appeared first on Utusan Malaysia.

