
KUALA LUMPUR – Permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar beberapa isu awal didengar sebelum perbicaraan saman sivil yang dikemukakan bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther berhubung dakwaan satu insiden lapan tahun lalu diketahui 21 September ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan kedua-dua belah pihak secara dalam kamar hari ini.
Dalam prosiding hari ini Anwar diwakili peguam
Christopher Leong manakala Muhammed Yusof diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.
Berdasarkan permohonan, Anwar mahu beberapa isu berkaitan pergerakan dan kehadiran Muhammed Yusoff di kediaman peribadinya pada hari kejadian yang didakwa ditentukan terlebih dahulu, sama ada melalui keterangan afidavit atau prosiding tertutup tanpa kehadiran media.
Menurut beliau, penentuan isu-isu ini berpotensi menyelesaikan keseluruhan saman tersebut tanpa perbicaraan penuh.
Bagaimanapun, Muhammed Yusoff mahu perkara itu dibicarakan di mahkamah yang mana dalam afidavitnya, plaintif menyifatkan permohonan itu sebagai cubaan sengaja untuk melengahkan perbicaraan, yang pada asalnya ditetapkan pada Jun tahun lalu.
Dalam pernyataan saman tuntutan, Muhammed Yusoff mendakwa serangan terhadapnya berlaku di kediaman Anwar di Segambut pada 2 Oktober 2018, selepas diminta hadir oleh setiausaha sulit Anwar bagi menyerahkan teks ucapan.
Plaintif mendakwa laporan polis dibuat pada 7 Disember 2019 dan kesihatan mentalnya terjejas akibat kritikan daripada penyokong Anwar serta masyarakat.
Susulan itu, plaintif menuntut ganti rugi khas, am, teruk dan teladan serta kos dan relief lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Berikutan dakwaan itu, Muhammad Yusoff selaku plaintif dituduh berkomplot untuk menjatuhkan dan merosakkan karier politik defendan, selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan pelbagai pihak.
Anwar bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan memfailkan tuntutan balas pada September 2021, menyatakan bahawa tuduhan berkenaan adalah palsu dan tidak berasas.
Menurut Anwar, pada tarikh kejadian yang didakwa, beliau sedang bersama keluarga dan rakan-rakan di kediamannya di Bukit Segambut. – KOSMO! ONLINE
The post Permohonan Anwar beberapa isu dalam saman Yusof Rawther diketahui 21 September appeared first on Kosmo Digital.




