Permohonan Badan Peguam cabar DNAA Ahmad Zahid ditangguh

LocalPolitics
9 Jul 2026 • 3:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Permohonan Badan Peguam cabar DNAA Ahmad Zahid ditangguh
Datuk Seri Dr Ahmad Zakesemua maklumat berkenaan sedang dinilai dan disiasat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.hid Hamidi
Image from: Permohonan Badan Peguam cabar DNAA Ahmad Zahid ditangguh
kesemua maklumat berkenaan sedang dinilai dan disiasat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

KUALA LUMPUR - Permohonan Badan Peguam Malaysia untuk mencabar keputusan pendakwaan menghentikan prosiding kes rasuah Yayasan Akalbudi melibatkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang dijadualkan didengar di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, ditangguhkan.

Hakim Alice Loke Yee Ching membenarkan penangguhan itu selepas peguam utama Badan Peguam Datuk S. Ambiga memaklumkan kepada mahkamah bahawa Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 8 Oktober depan untuk mendengar permohonan Ahmad Zahid dan Peguam Negara bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang dibuat pada 7 Mei lepas.

"Kami berpendapat kita perlu menunggu sehingga permohonan undang-undang berkenaan diputuskan sebelum meneruskan permohonan ini. Oleh itu, kami memohon penangguhan prosiding hari ini," kata Ambiga.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi, yang mewakili Peguam Negara berkata pihak pendakwaan tidak membantah permohonan penangguhan itu memandangkan prosiding di Mahkamah Persekutuan akan menentukan ujian undang-undang yang terpakai bagi semakan kehakiman dalam hal yang melibatkan budi bicara pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Oktober depan untuk pengurusan kes bagi mendapatkan perkembangan berkaitan keputusan prosiding di Mahkamah Persekutuan.

Pada 7 Mei lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan Badan Peguam memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara pada 4 Sept 2023 untuk menghentikan prosiding terhadap Timbalan Perdana Menteri itu.

Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Jun 2024 yang sebelum itu menolak permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman tersebut.

Ahmad Zahid yang juga responden kedua dicadangkan dalam prosiding semakan kehakiman itu kemudian memfailkan permohonan berasingan pada 25 Mei lepas bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Beliau mengemukakan lima persoalan undang-undang bagi menyokong permohonan kebenaran merayu mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memfailkan permohonan berasingan dengan membangkitkan dua persoalan penting perundangan melibatkan kuasa budi bicara Pendakwa Raya di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut memohon agar semua prosiding di Mahkamah Tinggi digantung sementara menunggu keputusan permohonan bagi kebenaran merayu itu.

Badan Peguam memohon deklarasi mahkamah bahawa keputusan Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) membenarkan Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi adalah terbatal serta tidak sah.

Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu selepas pendakwaan memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara berhasrat untuk menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid bagi meneliti bukti baharu. - Bernama 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved