Permohonan EIA Loji Tenaga Hijau SIS tidak ditolak, masih dalam proses semakan - KDEB

LocalEnvironment
15 Mar 2026 • 4:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ramli

SHAH ALAM - Permohonan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi cadangan pembangunan Loji Tenaga Hijau Sultan Idris Shah (SIS) tidak ditolak dan masih dalam proses semakan standard oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pengarah Urusan KDEB Waste Management, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, maklum balas rasmi daripada jabatan itu serta Jawatankuasa Semakan Teknikal Penilaian Impak Alam Sekitar (EIATRC) setakat ini tidak menunjukkan sebarang kebimbangan asas berkaitan reka bentuk projek atau kesesuaian lokasi pembangunan.

“Semakan pentadbiran yang sedang dilaksanakan merupakan sebahagian daripada proses kawal selia biasa bagi projek infrastruktur berskala besar.

“Sebahagian besar proses ini melibatkan penambahbaikan dokumentasi dan penyusunan maklum balas daripada sesi libat urus awam yang dilaksanakan sepanjang dua tahun lalu berdasarkan lebih 12,000 maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan JAS turut meminta agar penyusunan dan dokumentasi maklum balas awam itu diperkemas bagi memastikan setiap pandangan direkodkan secara menyeluruh serta dinilai dengan teliti dalam proses penilaian projek.

Malah menurutnya, cadangan pembangunan Loji Tenaga Hijau SIS merupakan komponen penting dalam strategi jangka panjang Selangor untuk memodenkan sistem pengurusan sisa pepejal serta mengurangkan kebergantungan terhadap kapasiti tapak pelupusan sisa yang semakin terhad.

“Melalui penggunaan teknologi Waste-to-Energy (WtE) yang telah digunakan secara meluas di peringkat global, kemudahan itu berpotensi menjana tenaga boleh diperbaharui di samping menguruskan sisa domestik secara lebih cekap.

“Pembangunan projek itu hanya akan diteruskan selepas mematuhi sepenuhnya semua keperluan peraturan alam sekitar negara serta tertakluk kepada kelulusan akhir JAS.

“Apabila beroperasi kelak, loji berkenaan akan dilengkapi sistem kawalan pelepasan yang ketat serta pemantauan alam sekitar secara berterusan bagi memastikan perlindungan kesihatan awam dan kelestarian ekosistem di kawasan sekitarnya,” jelasnya.

Ramli turut memberi jaminan pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa kawal selia, pakar teknikal serta masyarakat bagi memastikan pembangunan penyelesaian pengurusan sisa yang mampan dan berdaya tahan untuk Selangor dalam jangka panjang.