Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menjelaskan permohonan maaf yang dibuat pada rakyat Jepun dan China baru-baru ini adalah berhubung dengan insiden kemalangan serius yang melibatkan pelancong Jepun dan China.
Dalam hantaran di Facebook itu, beliau juga memohon maaf diatas kelemahan pihaknya dalam memastikan keselamatan pelancong.
Beliau turut menegaskan permohonan maaf itu sama sekali tidak berkaitan dengan isu papan tanda.
“Saya juga ingin menegaskan bahawa permohonan maaf ini sama sekali tidak berkaitan dengan isu papan tanda, sebaliknya adalah tanggungjawab kita sebagai tuan rumah untuk memastikan pelancong dapat menikmati percutian mereka dengan selamat dan gembira.
“Apabila pelancong datang ke Malaysia dengan harapan untuk bercuti, tetapi berakhir dengan tragedy yang tidak diingini, sesuatu yang amat menyedihkan bagi mangsa serta ahli keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan mengapa isu papan tanda perlu dipanjangkan sehingga mencetuskan ketegangan.
“Saya percaya pihak DBKL boleh berkomunikasi dengan peniaga dengan cara yang lebih baik dan penuh hormat.
“Kita perlu menjaga keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat tanpa menimbulkan ketegangan yang tidak diperlukan,” katanya.
Selain itu, beliau menyatakan terbuka untuk menerima sebarang teguran dan kritikan yang membina.
“Jika saya melakukan kesilapan, saya dengan rendah hati mengakui dan memperbaikinya.
“Namun saya juga harap agar kita tidak terus mencetuskan huru-hara dan ketegangan, terutamanya dengan isu-isu yang tidak membawa manfaat kepada negara. Kita harus bersatu mencari jalan penyelesaian yang konstruktif,” katanya.
The post ‘Permohonan maaf tiada kaitan isu papan tanda’ – King Sing appeared first on The Reporter.


