
Permohonan kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi Tingkatan 1 dan 4 untuk tahun 2024 kini telah dibuka secara dalam talian hingga 20 Oktober depan.
Majlis Amanah Rakyat (MARA) membuat pengumuman itu menerusi platform media sosialnya dengan mempelawa calon-calon yang memiliki sahsiah terpuji, jati diri yang tinggi dan cemerlang akademik serta aktif dalam aktiviti kokurikulum untuk mengikuti Sistem Pendidikan Maktab Rendah Sains Mara (SPMRSM) yang menawarkan program-program berteraskan kurikulum kebangsaan dan antarabangsa.
Menurut MARA, beberapa syarat kemasukan telah disediakan kepada pelajar yang berminat untuk mengikuti pembelajaran di MRSM.
Antara syarat kemasukan tersebut adalah terdiri daripada;
1) Warganegara Malaysia
2) Ibu dan/atau bapa kandung ialah warganegara Malaysia
3) Sihat tubuh badan
4) Ibu bapa/penjaga dan penjamin yang bukan disenarai hitam oleh MARA
5) Keutamaan diberikan kepada pemohon daripada keluarga berpendapatan rendah yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan
Manakala syarat untuk pemohon adalah seperti berikut:
1) Tingkatan Satu 2024: Lahir pada 2 Januari 2011 hingga 1 Januari 2012
2) Tingkatan Empat 2024: Lahir pada 2 Januari 2008 hingga 1 Januari 2009
Untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai permohonan berkenaan, para pelajar, ibu bapa dan orang ramai boleh melayari laman sesawang https://mrsm.mara.gov.my/mymrsm
Semoga berjaya!


