
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin menolak permohonan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mencabar kredibiliti saksi utama dalam perbicaraan kes pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.
Ahli Parlimen Muar itu memfailkan permohonan untuk mencabar keterangan Rafiq Hakim Razali, yang merupakan bekas Penolong Bendahari Armada, susulan percanggahan dalam pernyataan saksi dan keterangan lisan beliau di mahkamah berhubung prosedur pengeluaran wang RM1 juta daripada akaun bank Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, pernyataan saksi Rafiq Hakim, yang tidak dikemukakan kepada mahkamah, tidak boleh digunakan untuk mencabar kredibiliti beliau.
"Saya setuju dengan hujah pendakwaan bahawa pernyataan itu bukanlah pernyataan saksi seperti yang didefinasikan mengikut Seksyen 402(B) Kanun Tatacara Jenayah.
"Justeru, pernyataan itu tidak boleh digunakan sebagai asas untuk mencabar kredibiliti saksi," katanya.
Pada 7 Julai lepas, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq, berkata mahkamah boleh menggunakan budi bicaranya untuk membenarkan pembelaan memulakan prosiding bagi mencabar kredibiliti Rafiq Hakim meskipun dokumen yang dirujuk iaitu pernyataan saksi, tidak dikemukakan kepada mahkamah oleh pendakwaan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, jika pembelaan ingin mencabar kredibiliti Rafiq Hakim, pernyataan saksi beliau selepas itu akan dikemukakan kepada mahkamah dan digunakan sebagai eksibit.
Selepas mahkamah mengumumkan keputusan itu, Gobind berkata pembelaan akan memfailkan permohonan baharu bagi mendapatkan pernyataan saksi Rafiq Hakim yang dirakam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2020 semasa siasatan kes tersebut dilakukan.
Wan Shaharuddin bagaimanapun membantah kerana tiada lagi keperluan untuk mencabar kredibiliti saksi pendakwaan ke-13 itu memandangkan beliau telah mengaku di mahkamah terdapat sedikit percanggahan keterangannya di mahkamah dengan pernyataan saksinya.
Azhar kemudian menetapkan Jumaat ini untuk pendakwaan dan pembelaan berhujah lanjut mengenai perkara itu sebelum membuat keputusan.
Syed Saddiq, 29, berdepan dakwaan bersubahat dengan Rafiq Hakim melakukan CBT terhadap RM1 juta dana milik sayap parti itu.
Beliau didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan dana itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 8 2018.
Syed Saddiq turut berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dengan aktiviti pengubahan wang haram iaitu dua transaksi RM50,000 yang dipercayai adalah hasil aktiviti haram daripada akaun Maybank Islamic Berhad kepada akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. - Bernama.
