Permohonan visa pelajar Malaysia meningkat 38% pada 2022, kembali ke tahap sebelum pandemik

16 May 2023 • 4:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Permohonan visa pelajar Malaysia meningkat 38% pada 2022, kembali ke tahap sebelum pandemik

zulfadli

16/05/2023 - 16:00

KUALA LUMPUR 16 Mei - Permohonan visa pelajar Malaysia mencatatkan peningkatan 38% pada 2022 berbanding tahun sebelumnya sekali gus kembali ke tahap sebelum pandemik, menurut VFS Global.

VFS Global dalam kenyataan hari ini berkata, ia juga menunjukkan bahawa pergerakan di peringkat antarabangsa sudah beransur pulih.

Menurut pakar terbesar dunia dalam bidang perkhidmatan visa penyumberluaran dan teknologi untuk kerajaan dan misi diplomatik itu, permohonan visa pelajar bagi 2022 adalah 4% lebih tinggi daripada jumlah bagi 2019.

"Permohonan adalah 38% lebih tinggi berbanding 2021, memandangkan kebanyakan sempadan antarabangsa ditutup kerana sekatan perjalanan akibat pandemik dan kampus universiti antarabangsa dikendalikan secara hibrid pada tahun tersebut," katanya.

Ketua Australasia VFS Global, Kaushik Ghosh berkata, peningkatan permohonan menandakan keadaan kian pulih ke tahap sebelum pandemik dan momentum dalam pergerakan keluar pelajar-pelajar negara ini.

"Oleh kerana lebih 75% daripada permohonan visa pelajar adalah untuk ke United Kingdom (UK), kami masih meneruskan kerjasama erat dengan UK Visas and Immigration (UKVI) untuk memastikan urusan yang lancar dalam musim puncak yang akan datang.

"Memandangkan adanya permintaan terpendam yang tinggi, kami menyeru para pelajar supaya membuat permohonan untuk mendapatkan visa mereka seawal mungkin untuk mengelakkan kesesakan pada saat-saat akhir," katanya.

Lebih daripada 7,220 rakyat Malaysia diberikan visa pelajar untuk menyambung pelajaran di UK pada 2022, yang merupakan jumlah hampir sama pada sebelum pandemik 2019.

Jumlah visa yang dikeluarkan bagi kategori itu pada 2022 meningkat sebanyak 3,000 dan500 berbanding 2020 dan 2021, semasa sekatan perjalanan berkuat kuasa.

Sementara itu, Ketua UKVI International Network, Charlotte Day berkata, pihaknya gembira kerana UK masih terus menjadi pilihan bagi ramai pelajar Malaysia sebagai destinasi untuk menyambung pengajian mereka.

Katanya, walaupun beberapa tahun lalu merupakan satu tempoh begitu mencabar dan permintaan kekal tinggi, pihaknya berbesar hati bersama-sama dengan VFS dan rakan FCDO untuk membantu memudahkan urusan banyak permohonan visa segmen pasaran penting yang kini hampir kembali ke tahap sebelum pandemik.

"Bagi mereka yang merancang untuk ke luar negara pada musim panas ini, kami menyeru supaya membuat permohonan visa secepat mungkin.

"Sesiapa yang memohon visa pelajar boleh membuat permohonan enam bulan sebelum bermulanya kursus mereka, oleh itu pastikan pelajar menghantar permohonan sebaik sahaja menyediakan semua dokumen sokongan," katanya.

Menjelang musim puncak, VFS Global membuka Pusat Permohonan Premium di sekitar kampus-kampus universiti dan Lokasi Pendaftaran Sementara di Malaysia Timur supaya lebih mudah bagi para pelajar untuk mendapatkan perkhidmatannya.

Waktu operasi pusat permohonan visa juga akan dilanjutkan untuk menerima permohonan serta pengambilan pasport. Destinasi utama yang menjadi pilihan pelajar dari Malaysia termasuklah Australia, Kanada dan Jerman. - DagangNews.com