Pernah hilang semangat hidup, tidak keluar rumah dua bulan – Sharmaine Alexander

Health & Fitness
3 Aug 2026 • 10:01 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pernah hilang semangat hidup, tidak keluar rumah dua bulan – Sharmaine Alexander

PETALING JAYA: Kecewa dituduh wajah bengkak kerana melakukan prosedur kosmetik, pelakon, Sharmaine Alexander menjelaskan keadaan kulitnya yang disahkan menghidap psoriasis

Kongsi Sharmaine, adakalanya wajahnya kelihatan bengkak hasil kesan sampingan ubat steroid yang diambilnya bukannya kerana jarum suntikan seperti diperkatakan orang.

“Ya Tuhan, fitnah face filler pula? Saya menghidap psoriasis dan perlu mengambil ubat steroid. Ada hari-hari tertentu, wajah saya akan menjadi sembab kerana itu adalah salah satu kesan sampingannya.

“Alhamdulillah, keadaan psoriasis saya kini semakin baik dan saya sangat bersyukur dengan perkembangan itu,” katanya
menerusi satu hantaran di media sosial.

Mengulas lanjut, pelakon Kasih Yang Terkorban itu meluahkan rasa kesal dengan sikap segelintir individu yang dianggap kurang berpendidikan sehingga sanggup membuat andaian melulu terhadap fizikalnya.

Jelasnya, tahap pendidikan bukan sekadar penting bagi membentuk pemikiran kritikal dan sifat empati dalam diri seseorang sebelum menjatuhkan hukum.

“Sebab itulah pendidikan itu sangat penting. Ia mengajar kita untuk tidak membuat andaian sesuka hati tentang penampilan orang lain.

“Bukan semua perubahan pada wajah seseorang itu disebabkan prosedur kosmetik, kadangkala ia adalah keadaan perubatan.

“Pendidikan memberi kita pengetahuan untuk membuat penilaian yang adil bukannya terus membuat kesimpulan. Sifat baik hati itu percuma, tetapi andaian boleh menyakitkan hati orang lain,” tegasnya lagi.

Dalam hantaran yang sama, Sharmaine turut berkongsi bukti foto keadaan kulitnya ketika tidak mengambil ubat bagi memberi gambaran sebenar penderitaan yang dialaminya.

Ujar Sharmaine, dia sebenarnya enggan memuat naik hantaran itu, namun komen keterlaluan netizen sangat mengguris perasaannya.

“Saya bukan jenis yang cepat melatah atau terasa hati apabila perkara buruk diperkatakan tentang saya kerana saya mahu kekal positif.

“Tetapi kali ini, komen tersebut sudah melampau.

“Kenapa saya perlu tonjolkan saat paling buruk dalam hidup saya kepada umum? Saya pernah tidak keluar rumah selama dua bulan disebabkan keadaan ini dan hilang semangat untuk melakukan apa-apa.

“Saya tidak percaya ada orang yang rasa mereka berhak untuk paksa orang lain beri penjelasan tentang hidup mereka. Biarlah orang buat kita, kita buat tak tahu sahaja,” tulisnya.

The post Pernah hilang semangat hidup, tidak keluar rumah dua bulan – Sharmaine Alexander appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved