Pernah Melihat Mereka? Sila Hubungi Polis Jika Ada

14 May 2024 • 5:58 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Polis memohon kerjasama orang ramai bagi mengesan tiga remaja perempuan, yang dipercayai dilarikan individu tertentu.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, ketiga-tiga remaja terbabit dikenali sebagai Christivy Holyen Hamdy, Roxanne Abbygail Richard dan Valensia Mail.

Menurut beliau, Christivy dan Roxanne berusia 12 tahun manakala Valensia berusia 15 tahun.

“Mereka meninggalkan rumah masing-masing pada jam 7.30 pagi, 10 Mei lalu dengan alasan mahu mengikuti latihan silat di Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Sugut, Ranau, Sabah.

“Kesemua mereka bagaimanapun masih belum pulang ke rumah sewaktu laporan polis dibuat sekitar jam 8.48 malam semalam,” katanya.

image is not available

Jelas Simiun, lokasi terakhir mereka dilihat adalah di Pekan Ranau semalam, sewaktu turun dari bas mini berwarna putih.

“Tiga remaja itu dilihat orang dijemput seorang lelaki yang menaiki Perodua Viva dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Orang ramai yang melihat mereka diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Callixtus Mila @ Joeanis di talian 013-2956467,” katanya. - Getaran, 14 Mei 2024