
LABUAN: Hampir dua hari tanpa bekalan air di kawasan bandar di sini menjejaskan banyak perniagaan, khususnya kedai kopi, dengan banyak terpaksa menutup operasi, sementara tarikh pemulihan bekalan masih belum dapat dipastikan.
Jabatan Bekalan Air (JBA) dalam notis yang dikeluarkan pada 3 Nov memaklumkan gangguan itu berpunca daripada kerja penggantian enam injap keluar di loji rawatan air Jalan Kolam. Bagaimanapun, kerja tersebut tertangguh akibat hujan lebat.
Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Labuan, Datuk Wong Kii Yii, berkata insiden itu memalukan bagi Labuan yang dikenali sebagai pusat kewangan antarabangsa, hab minyak dan gas serta destinasi pelancongan.
“Pagi tadi, saya menyambut beberapa tetamu dari China dan ketika mendaftar masuk di sebuah hotel, mereka dimaklumkan bahawa hotel itu mempunyai bilik tetapi tiada air.
“Ia sangat memalukan kerana saya telah memperkenalkan Labuan secara positif kepada mereka. Bayangkan tanggapan yang mereka bawa pulang,” katanya.
Wong berkata adalah sesuatu yang ironik apabila krisis air masih berlaku walaupun Kerajaan Madani telah memperuntukkan RM300 juta lebih setahun lalu untuk menangani masalah bekalan air di Labuan.
“Boleh diterima jika gangguan air berlaku beberapa jam, tetapi bukan selama dua hari,” tegasnya.
Menurut Wong, semasa lawatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof ke pulau itu, beliau mengakui keperluan menambah tenaga kerja serta mendapatkan kontraktor yang berwibawa untuk mencari penyelesaian dan menangani cabaran sedia ada.
Labuan menerima bekalan air dari Loji Rawatan Air Lawa Gadong di Beaufort melalui saluran paip bawah laut sepanjang 25.7 kilometer yang disambungkan ke tangki agihan utama Pulau Eno.

