
PETALING JAYA: Perniagaan dalam sektor perkapalan dan petroleum terjejas teruk akibat ketidakpastian berhubung layanan cukai terhadap kargo minyak yang dicampurkan (commingled) dalam tangki darat di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor.
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy berkata, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) perlu segera memberikan ketetapan jelas sama ada pencampuran kargo berkenaan dibenarkan dan, jika dibenarkan, bagaimana kargo itu perlu diklasifikasikan, didokumenkan dan ditaksir bagi tujuan percukaian.
Katanya, isu itu amat penting bagi membolehkan kargo berkenaan dipunggah dari kapal ke tangki darat semasa operasi pemindahan kapal (transhipment).
“Walaupun pencampuran kargo mungkin menjadi sebahagian daripada amalan operasi, ketiadaan garis panduan jelas mengenai implikasi kawal selia dan cukai boleh menyebabkan ketidakpastian, kos tambahan serta kemungkinan pertikaian dengan pihak berkuasa.
“Apabila konsainan berbeza dicampurkan dalam tangki darat, Kastam perlu dapat menentukan sama ada pencampuran itu betul dan bagaimana kargo berkenaan perlu dilayan selepas itu bagi tujuan percukaian,” katanya.
Jeyenderan berkata, JKDM perlu menetapkan keperluan jelas meliputi dokumentasi, klasifikasi kargo, penilaian dan taksiran cukai supaya syarikat mengetahui dengan tepat perkara yang perlu dipatuhi.
Katanya, syarikat tidak seharusnya dibiarkan mentafsir sendiri keperluan kastam dan cukai, khususnya apabila keputusan berkenaan boleh memberi implikasi kewangan yang besar terhadap operasi mereka.
“Jika amalan itu dibenarkan, Kastam perlu menyatakan dengan jelas syarat yang perlu dipatuhi. Jika cukai perlu dibayar, syarikat mesti tahu dengan tepat bagaimana ia dikira. Jika ia tidak dikenakan cukai di bawah peraturan yang berkuat kuasa, perkara itu juga perlu dinyatakan dengan jelas,” katanya.

Jeyenderan berkata, ketidakpastian yang berlarutan boleh menyebabkan kelewatan kargo, peningkatan kos penyimpanan dan operasi, komplikasi kontrak serta gangguan terhadap aktiviti perniagaan di pelabuhan.
“Kami tidak meminta layanan istimewa. Kami meminta penjelasan. Perniagaan perlu tahu apa yang dibenarkan, dokumentasi yang diperlukan dan layanan cukai yang dikenakan,” katanya.
Jeyenderan turut menggesa JKDM mengadakan libat urus secara langsung dengan pemain industri bagi memahami operasi sebenar melibatkan kargo petroleum di Pelabuhan Tanjung Langsat, khususnya proses selepas kargo dipunggah dari kapal serta ketika penyimpanan dan operasi transhipment.
Sebelum ini, Jeyenderan membangkitkan kebimbangan terhadap dakwaan amalan pencampuran kargo minyak dalam tangki darat selepas kargo dipunggah dari kapal ketika operasi transhipment, yang menurutnya boleh menimbulkan isu kawal selia, dokumentasi dan pematuhan cukai sekiranya tidak diurus dengan sewajarnya.
Beliau berkata, apabila minyak mentah daripada konsainan berbeza dicampurkan dalam tangki darat, ciri fizikal kargo berkenaan boleh berubah dan, sekiranya dokumentasi berkaitan tidak dikemas kini dengan betul, percanggahan boleh berlaku dari segi klasifikasi kargo, penilaian dan taksiran cukai-UTUSAN
The post Perniagaan pelabuhan terjejas teruk susulan ketidakpastian cukai minyak dicampur appeared first on Utusan Malaysia.

