Perniagaan warisan terus hidup di Pekan Lama Rawang 

LocalBusiness & Finance
3 Oct 2026 • 11:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Perniagaan warisan terus hidup di Pekan Lama Rawang 

RAWANG, 3 OKT: Di sebalik deretan bangunan lama yang berdiri sebagai saksi perjalanan masa, Pekan Lama Rawang terus menyimpan denyut kehidupan sebagai sebuah pekan yang pernah menjadi tumpuan kegiatan perdagangan masyarakat setempat.

Lorong-lorongnya mungkin tidak semeriah pusat membeli belah, namun setiap kedai ada cerita dan nilai tersendiri. Ada yang diwarisi daripada ibu bapa, ada yang telah bertahan selama puluhan tahun dan tidak kurang juga yang menyimpan legasi perniagaan keluarga. 

Zaman silih berganti, Rawang berubah dan cara manusia berniaga semakin berkembang, namun peniaga di pekan lama tetap bertahan dan menjadikan kawasan berkenaan sebagai sumber rezeki serta meneruskan legasi keluarga.

Image from: Perniagaan warisan terus hidup di Pekan Lama Rawang 
Chef Lee Kar Chung

Bagi pengusaha Restoran Pun Nam, Lee Kar Chung, 45, Pekan Rawang bukan sekadar sebuah lokasi perniagaan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada perjalanan kehidupan keluarganya yang telah sekian lama bertapak di kawasan itu.

Sejarah keluarganya bermula dengan ketibaan nenek moyang dari Guangzhou, China di Tanah Melayu pada tahun 1898, Kar Chung merupakan generasi keempat yang meneruskan legasi perniagaan tersebut. 

“Bagi saya, ini bukan sekadar perniagaan, tetapi warisan keluarga yang perlu diteruskan,” katanya.

Produk yang menjadi identiti perniagaan berkenaan ialah kuih bulan buatan tangan yang dihasilkan menggunakan resepi turun temurun.

Menurutnya, setiap resipi, perkakas lama dan pengalaman yang diwarisi mempunyai nilai tersendiri dalam memastikan tradisi berkenaan tidak terhenti begitu sahaja.

Produk kuih bulan resipi keluarga Kar Chung ini diiktiraf sebagai Jenama Kuih Bulan 'Kam Tui' Tertua oleh Malaysia Book of Records pada tahun lalu.

Image from: Perniagaan warisan terus hidup di Pekan Lama Rawang 
Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADN), Chua Wei Kiat beramah mesra bersama penduduk setempat di Pekan Lama Rawang, Selayang pada 14 September 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Katanya, pengiktirafan tersebut menjadi satu pencapaian penting buat perniagaan keluarganya dan pada masa sama membuktikan makanan tradisional masih mendapat tempat dalam kehidupan masyarakat moden.

Dalam dunia perniagaan yang semakin maju, beliau percaya kualiti perlu terus menjadi keutamaan, khususnya apabila permintaan pelanggan meningkat. Malah pada September lalu, pihaknya menyasarkan kira-kira 1,200 biji kuih bulan dalam masa sehari. 

“Kalau banyak tempahan, kualiti boleh jatuh. Jadi kita perlu pastikan kandungan daripada A hingga Z betul,” katanya.

Hasil usaha mengekalkan perniagaan keluarga ini, sambutan diterima bukan sekadar pelanggan tempatan tetapi juga dari luar negara. 

“Kami juga menerima tempahan dari luar negara seperti China, England dan Singapura, pesanan tersebut akan dihantar kepada saudara-mara yang berada di luar Malaysia. Bagi pelanggan yang sudah lama tinggal di luar negara, kuih bulan ini mengingatkan mereka kepada Malaysia dan kenangan bersama keluarga,” katanya.

Kesesakan trafik cabaran utama

Di sebalik aroma kuih bulan yang menjadi tarikan pelanggan, Kar Chung melihat perubahan Rawang sebagai satu perkembangan yang membawa peluang dan cabaran kepada peniaga lama. 

“Sekarang penduduk semakin ramai dan kesesakan juga semakin meningkat. Rumah yang jaraknya dua kilometer pun boleh mengambil masa 15 minit. Banyak masa terbuang di atas jalan,” katanya.

Tambahnya lagi, isu parkir juga menjadi antara keluhan yang sering disuarakan pelanggan.

Image from: Perniagaan warisan terus hidup di Pekan Lama Rawang 
Ragunath Gopala Krishnan

Ragunath Gopala Krishnan, 42, peniaga kalung perkahwinan yang sudah 18 tahun mencari rezeki di Pekan Rawang pula berharap aspek mobiliti diberi keutamaan bagi memberi nafas baharu kepada kawasan berkenaan. 

Menurutnya, pengangkutan awam, pelebaran jalan serta penambahan parkir berpotensi memudahkan lebih ramai orang luar mengunjungi pekan lama.

"Dulu mobiliti di sini lebih baik kerana ada perhentian bas yang memudahkan orang datang. Tapi sejak perhentian bas dipindahkan ke lokasi lain, akses ke pekan ini sedikit sukar dan menyebabkan jumlah pengunjung berkurang." katanya.

Bagi pengusaha Manli Hardware, Lim Man Teck, 42, yang sudah 30 tahun berniaga pula berkata masalah jalan raya dan parkir menganggu kelancaran lalu lintas. 

“Jika jalan boleh dibaiki sedikit mungkin lebih ramai orang akan datang ke Pekan Rawang,” katanya.

Image from: Perniagaan warisan terus hidup di Pekan Lama Rawang 
Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADN), Chua Wei Kiat beramah mesra bersama penduduk setempat di Pekan Lama Rawang, Selayang pada 14 September 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Bagi peniaga-peniaga di Pekan Lama Rawang, perancangan peremajaan kawasan itu bukan sekadar soal mencantikkan wajah kawasan atau memperbaharui struktur fizikalnya.

Sebaliknya, usaha itu turut membawa harapan agar denyut kehidupan perniagaan lama terus bernafas dan kisah perniagaan yang telah berakar umbi selama puluhan malah ratusan tahun tidak hilang ditelan zaman. 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved