SHAH ALAM, 2 JAN: Proses perobohan Stadium Shah Alam mencapai kemajuan lebih 60 peratus setakat ini, lancar dan awal 20 hari berbanding yang dijadualkan.
Ketua pegawai eksekutif kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata pihaknya sangat menghargai sokongan rakyat terhadap pembangunan Kompleks Stadium Shah Alam (KSSA).

“KSSA meliputi pelbagai jenis pembangunan termasuk stadium, teater tertutup, hab pengangkutan dan taman yang akan memberi kemudahan kepada penduduk sekitar Shah Alam dan mereka yang datang ke stadium,” kata Dato’ Saipolyazan M Yusop ditemui hari ini.
Menurutnya, turut dibangunkan projek tebatan banjir Sungai Damansara oleh Kerajaan Persekutuan di tanah berkeluasan 10 ekar berhampiran KSSA yang dijangka mampu menyelesaikan isu banjir sekitar Seksyen 13, Shah Alam.
“Kita dimaklumkan kontraktor telah dilantik untuk projek itu dan sekarang dalam proses penilaian dan rekabentuk.
“Bukan hanya stadium baharu tetapi selesaikan masalah setempat penduduk Seksyen 13 dan sekitar,” katanya.
Terdahulu, Saipolyazan menyempurnakan penyerahan 300 bakul makanan kepada mangsa terjejas banjir di Taman Seri Alam, Saujana Utama, Sungai Buloh dekat sini susulan kolam takungan berhampiran pecah sehingga kawasan sekitar perumahan dilimpahi air.
Projek pembangunan KSSA membabitkan tiga fasa dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029, dengan fasa pertama meliputi proses perobohan.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar memberitahu suku pertama 2027 merangkumi pembangunan stadium, terminal bersepadu, plaza tempat letak kenderaan, kawasan rekreasi dan padang latihan.
Dato’ Seri Amirudin berkata fasa kedua pula meliputi binaan bangunan teater tertutup, ruang niaga, sayap sukan serta sayap belia, yang dijangka bermula pertengahan 2027 hingga akhir 2029.

The post Perobohan Stadium Shah Alam capai kemajuan lebih 60 peratus, awal dari jangkaan appeared first on Selangorkini.


