Perodua catat peningkatan jualan 28.3% kepada 88,537 unit pada suku ketiga 2023
diyana
27/10/2023 - 15:28
KUALA LUMPUR 27 Okt - Perodua telah mencatat peningkatan jualan sebanyak 28.3% bagi suku ketiga tahun ini kepada 88,537 unit berbanding 69,011 unit yang dicatatkan dalam suku sama tahun lalu berikutan faktor pengeluaran yang bertambah baik.
Pengeluar kereta kompak itu berkata peningkatan jualan tersebut disumbangkan oleh kecekapan operasi yang lebih baik di bahagian pengeluaran, yang menyaksikan 91,528 unit kenderaan dikeluarkan, iaitu kenaikan 21.7% berbanding 75,196 unit pada suku sama tahun lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata suku ketiga 2023 menjadi titik permulaan bagi Perodua meningkatkan pengeluaran bulanan melebihi 30,000 unit memandangkan kapasiti bekalan bahan mentah dan alat ganti mencukupi untuk memenuhi permintaan.
Bagi angka pengeluaran terkini tahun ini, Perodua telah menghasilkan 245,341 unit kenderaan sehingga September lalu, meningkat 18.6% daripada 206,837 unit dalam tempoh sama tahun lalu.
“Peningkatan pengeluaran ini menunjukkan potensi ekosistem automotif Malaysia berikutan penambahbaikan dalam skala ekonomi mereka tanpa berkompromi terhadap aspek kecekapan kos dan kualiti,” ujar Zainal Abidin dalam satu kenyataan media hari ini.
Dengan berlakunya semua penambahbaikan ini, beliau berkata jualan dan pengeluaran Perodua pada suku keempat tahun ini dijangka menjadi yang tertinggi dalam sejarah syarikat.
“Kami juga terus komited untuk mengurangkan tempoh menunggu pelanggan kami. Kami yakin bermula Januari 2024 ke atas, tempoh menunggu akan dapat diuruskan dengan lebih baik,” katanya.
Pendaftaran terkini Perodua adalah sebanyak 233,227 unit dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding 196,354 unit yang dijual dalam tempoh sama tahun lalu.
Daripada jumlah pendaftaran tersebut, model Perodua terbanyak yang dijual sehingga September 2023 adalah Bezza, diikuti Axia dan Myvi.
“Perkembangan positif ini telah membantu Perodua menambah baik kapasiti pengeluaran dan memendekkan tempoh penghantaran kenderaan kepada pelanggan.
“Kami juga masih di landasan untuk mencapai sasaran pendaftaran sebanyak 314,000 unit tahun ini,” tambahnya.
Sementara itu, bagi perbandingan bulan ke bulan, Perodua telah mendaftar 28,995 unit kenderaan pada September 2023, kenaikan 17.7% daripada 24,626 pada September 2022.
Manakala dalam aspek pengeluaran, Perodua telah menghasilkan 31,447 kenderaan pada September 2023, peningkatan 8.2% daripada 29,077 unit pada September tahun lalu. - DagangNews.com


![[VIDEO] Perodua catat peningkatan jualan 28.3% kepada 88,537 unit pada suku ketiga 2023](https://cdn.newswav.com/img/topic/business-and-finance.jpeg)
