Dengan tempoh berbaki kurang dari 5 bulan menjelang akhir tahun, banyak kenderaan elektrik mula dijual. Jika minggu lepas Proton e.MAS 5 telah membuat kemunculan sulung dan memulakan jelajah seluruh Malaysia, sehingga kini tiada lagi berita berkenaan kereta elektrik dari Perodua. Namun begitu, hari ini Perodua dengan kerjasama Maybank telah melancarkan pelan pembiayaan Perodua Flexiplan yang menggunakan Maybank Islamic myimpact, yang turut memberikan bayangan pemilikan kereta elektrik yang lebih mudah.

Perodua Flexiplan merupakan program pembiayaan kenderaan patuh syariah, membolehkan pengguna memilih untuk membayar selama lima tahun, dan membeli semula kenderaan tersebut pada harga yang dijamin lebih tinggi berbanding harga pasaran (tertakluk terma dan syarat). Pengguna juga boleh menukar kepada model kenderaan baharu, atau kekal menggunakan kenderaan sedia ada dengan kadar pembiayaan yang disemak semula. Dengan ini, pengguna yang membeli kereta Perodua menggunakan Flexiplan ini dapat sentiasa menukar kereta baharu setiap 5 tahun.

Dan di dalam jenama perkhidmatan Maybank, nama ‘myimpact’ merupakan nama yang berkait dengan kelestarian. Jika dirujuk pada penawaran kad kredit Maybank myimpact, ia memberikan pulangan tunai kepada pelbagai produk dan juga perkhidmatan berasaskan kelestarian, termasuklah bayaran pengecasan kereta elektrik. Ia juga tidak mengenakan sebarang caj kelewatan pembayaran, tiada yuran tahunan, dan turut menjejak pembebasan karbon dari perbelanjaan yang dilakukan menggunakan kad kredit Maybank myimpact.
Jika dilihat dari gabungan pelan pembayaran dan jenama kelestarian, pembiayaan sebegini, ia mungkin bersesuaian dengan kereta elektrik Perodua yang disasarkan untuk dijual sekitar RM80k yang turut berkemungkinan perlu untuk menyewa bateri secara berasingan. Merujuk kepada pelan Perodua Flexiplan, mungkin kereta elektrik mereka akan diperkenalkan dengan pelan pembiayaan sebegini, yang memudahkan pengguna untuk memiliki kereta elektrik tanpa risau akan nilai susut yang biasanya dikaitkan dengan kereta elektrik. Sehingga kini terdapat banyak kereta elektrik yang dijual di pasaran tempatan telah susut nilainya, menjangkau 50% dari harga asal. Malah CEO Perodua turut mengesahkan Maybank bakal menjadi rakan pembiayaan untuk kereta elektrik mereka yang dijangka akan dijual menjelang akhir tahun ini.

Buat masa ini pelan Perodua Flexiplan patuh syariah ini ditawarkan untuk Myvi, Axia (kecuali Axia E), Ativa dan Aruz. Perodua Alza tidak termasuk dalam program pembiayaan ini. Program pembiayaan ini merupakan satu kebiasaan untuk jenama Mercedes Benz dibawah nama Agility Financing dan dengan pengenalan Perodua Flexiplan dengan kerjasama Maybank, kita mungkin dapat lihat corak pembiayaan berlainan yang menjamin nilai EV kelak.

