
RAWANG, 18 Jun 2026 – Perodua mengumumkan pengurangan harga bagi alat ganti komponen penyelenggaraan serta kos buruh sebanyak 10 peratus, bermula 19 Jun 2026, sebagai usaha membantu rakyat Malaysia mengurangkan kos pemilikan dan penyelenggaraan kenderaan.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, pelanggan dijangka menikmati penjimatan sehingga 10 peratus daripada jumlah bil penyelenggaraan mereka apabila mendapatkan servis di pusat servis bertauliah Perodua.
Beliau berkata, tawaran tersebut melibatkan harga alat ganti komponen penyelenggaraan serta kos buruh berkaitan dan terbuka kepada semua model Perodua termasuk EV pertama syarikat itu, Perodua QV-E.
“Kami percaya penurunan kos penyelenggaraan ini akan membantu pelanggan mengurangkan kos mobiliti mereka, dan kami di Perodua menjalankan tanggungjawab kami untuk memberi nilai yang lebih baik kepada pelanggan kami,” katanya.
Perodua turut menggalakkan pemilik kenderaan menggunakan alat ganti tulen serta mendapatkan servis di pusat servis bertauliah bagi memastikan kenderaan kekal cekap, selamat dan boleh dipercayai untuk jangka panjang.
Berdasarkan data syarikat, terdapat lebih daripada 5 juta kenderaan Perodua berada di atas jalan raya ketika ini. Sepanjang tahun 2025 sahaja, sebanyak 3.7 juta kenderaan telah diselenggara di pusat servis Perodua di seluruh negara.
Selain pengurangan kos penyelenggaraan, Perodua turut menawarkan harga baharu bagi EV pertama mereka, QV-E, pada harga RM93,999 untuk pemilikan penuh atau RM69,999 menerusi pakej Battery as a Service (BAAS) dengan bayaran bulanan RM215 selama sembilan tahun.
Bagi tempoh promosi terhad sehingga 30 September 2026, pelanggan boleh mendapatkan QV-E pada harga istimewa RM87,499 untuk pemilikan penuh atau RM63,499 dengan pakej BAAS.
Menurut Dato’ Sri Zainal, penambahbaikan kecekapan operasi dan pengurangan pembaziran dalam syarikat membolehkan manfaat tersebut dikongsi bersama pelanggan menerusi harga yang lebih kompetitif.
The post Perodua Kurangkan Harga Alat Ganti dan Kos Buruh Sehingga 10% Bermula 19 Jun appeared first on TW Media.

