
.jpg)
Jenama automotif kegemaran rakyat Malaysia, Perodua, terus mengukuhkan cengkamannya di peringkat antarabangsa apabila rasmi mengeksport model terbaharunya, Perodua Traz, bersama MPV terlaris, Perodua Alza, ke Sri Lanka, baru-baru ini
Langkah strategik ini sekali gus membuktikan populariti dan kualiti kenderaan keluaran Perodua yang semakin mendapat tempat di hati pengguna luar negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata Sri Lanka kekal menjadi satu daripada pasaran eksport terbesar Perodua, dengan jualan lebih 20,000 unit sejak tahun 1997.
Menurutnya, Perodua kini mengeksport model siap dipasang sepenuhnya (Completely Build-Up) ke enam negara iaitu Brunei, Fiji, Mauritius, Bangladesh, Papua New Guinea serta Sri Lanka.
“Kami juga merancang untuk mengeksport kenderaan Pre-Owned Vehicles kami dan setakat ini, kami telah mengembangkan pasaran termasuklah ke Timor Leste tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam CariCarz.com melaporkan harga pengenalan khas Perodua Traz ditawarkan kepada 50 pelanggan terawal yang mana ia cuma berharga Rs. 19,950,000 (dengan aksesori tambahan) (RM243,090) dan Rs. 19,200,000 (tanpa aksesori tambahan) (RM233,957.23), manakala untuk Perodua Alza, ia dijual pada harga Rs. 19,950,000 (RM243,090). Kesemua harga yang dinyatakan adalah termasuk cukai.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulan United Motors Lanka PLC, Chanaka Yatawara berkata sejak sekatan import kenderaan dibatalkan pada 2025, syarikat berkenaan telah menjual hampir 3,000 unit kenderaan dan ia mencerminkan kepercayaan kuat pelanggan di Sri Lanka terhadap jenama Perodua.
“Dengan keupayaan pengeluaran Perodua yang telah terbukti serta rangkaian jualan serta servis Kumpulan United Motors, kami yakin Traz dan Alza akan terus meraih kepercayaan di kalangan keluarga serta pemilik perniagaan di Sri Lanka,” katanya.
Sebagai makluman, Perodua Traz dilancarkan pada December 2025 dan direka untuk menjadi kenderaan mesra pengguna Perodua dengan slogan ‘Engineered Simplicity’, dan ia direka dengan mengambil kira keperluan pemandu di Malaysia.
Perodua Alza pula dilancarkan pada 2022 dan telah mencatat jumlah pendaftaran sebanyak 19,504 unit antara Januari hingga Jun tahun ini, menurut data yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia.


