Perpaduan kunci kekuatan, kemakmuran: Hajiji

LocalPolitics
2 Aug 2025 • 9:26 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Larry Ralon

Kota Kinabalu: Perpaduan antara pelbagai kaum dan agama di Sabah merupakan kunci kepada kekuatan serta kemakmuran negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau menyeru seluruh rakyat untuk terus memelihara keharmonian yang dinikmati hari ini sebagai warisan paling berharga untuk generasi akan datang.

“Perpaduan dalam kepelbagaian adalah kekuatan sebenar Sabah. Ia bukan kelemahan, sebaliknya satu keunikan yang patut kita banggakan dan pelihara,” katanya ketika merasmikan Bulan Kebangsaan, Sambutan Hari Sabah dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2025 di The Magellan Sutera Resort, di sini, Jumaat.

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Ketua Menteri berkata setiap individu bertanggungjawab menjadikan tempat seperti sekolah, tempat kerja, premis perniagaan, rumah ibadat dan juga platform digital sebagai ruang untuk memperkukuh persefahaman, bukannya menyemai perpecahan.

Mengenai kemajuan pembangunan negeri, beliau berkata pencapaian Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 sehingga Mei 2025 menunjukkan kejayaan memberangsangkan, dengan kadar pelaksanaan purata mencecah 94 peratus daripada 467 inisiatif yang dirancang.

“Antara sektor yang terus diberi keutamaan ialah pertanian, perindustrian dan pelancongan, di samping usaha meningkatkan modal insan, kesejahteraan rakyat, rangkaian infrastruktur dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Hajiji berkata pelbagai bentuk bantuan turut disalurkan kepada rakyat, termasuk akses kepada pendidikan dan pengenalan Skim Perlindungan Rakyat Sabah yang menawarkan manfaat menyeluruh kepada rakyat negeri ini.

Beliau turut menyeru semua lapisan masyarakat supaya mengibarkan Jalur Gemilang di mana-mana sahaja sebagai simbol kesetiaan dan kecintaan kepada negara.

“Pelancaran hari ini bukan sekadar satu acara simbolik, sebaliknya satu seruan untuk kita memahami makna sebenar kemerdekaan – bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi juga bebas daripada kemiskinan dan perpecahan,” katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah yang diraikan setiap Ogos merupakan detik bersejarah yang mengingatkan rakyat tentang perjuangan nenek moyang mempertahankan tanah air dan maruah negara.

“Sebagai rakyat Malaysia di Sabah, kita memikul tanggungjawab besar untuk mempertahankan nikmat kemerdekaan dan meneruskan warisan perjuangan ini,” katanya.

Majlis pelancaran diserikan dengan penyerahan Jalur Gemilang dan bendera Sabah kepada jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, wakil pertubuhan serta pelancaran Kembara Merdeka Jalur Gemilang.