Perpaduan Melayu Sukar Dicapai – Ibrahim Ali

LocalPolitics
23 Aug 2024 • 9:43 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Presiden PUTRA Ibrahim Ali. – Gambar fail

KUALA LUMPUR – Sistem demokrasi di Malaysia menyebabkan orang Melayu sukar bersatu, menurut Datuk Paduka Ibrahim Ali.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) itu berkata, keadaan ini akan terus kekal selagi wujudnya sistem yang menggalakkan penubuhan parti-parti politik Melayu-Islam, yang bertujuan untuk meraih sokongan pengundi.

"Orang Melayu akan terus bercakaran sesama sendiri kerana setiap parti akan berusaha untuk saling mengatasi antara satu sama lain. Inilah amalan demokrasi.

"Dan sekarang kita lihat parti yang cuba mewakili orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak kian bercambah," katanya.

Ibrahim percaya sesebuah parti Melayu hanya akan berjaya mentadbir negara jika ia mampu memenuhi keperluan masyarakat yang semakin berkembang, baik dari segi agama mahupun ekonomi.

Beliau juga menekankan bahawa masyarakat bukan Melayu perlu diberi keyakinan bahawa mereka tidak perlu bimbang atau takut dengan konsep perpaduan orang Melayu.

Katanya, perpaduan orang Melayu bukan hanya memberi manfaat kepada golongan itu sendiri malah kepada bukan Melayu.

"Kita membayangkan bahawa perpaduan dalam masyarakat akan membawa kestabilan politik, membolehkan masyarakat memimpin dan memberi tumpuan kepada pembinaan negara tanpa sentiasa menoleh ke belakang. Tetapi hal ini tidak berlaku," ujarnya.

Beliau juga berkata jika masyarakat Melayu bersatu, orang bukan Melayu juga akan mendapat manfaat daripada kerajaan yang dipimpin oleh Melayu yang memberi tumpuan sepenuhnya untuk membina negara.

Ibrahim selain itu turut menegaskan perpaduan orang Melayu tidak akan menyebabkan hak bukan Melayu diketepikan, menambah perpaduan nasional adalah sangat penting.

"Kita memerlukan sokongan daripada golongan minoriti – Cina, India dan lain-lain – terhadap konsep perpaduan Malaysia untuk menjamin negara daripada ancaman luar, yang merangkumi keselamatan hingga kegawatan ekonomi."

Beliau juga menzahirkan harapan agar Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat melakukan lebih banyak usaha untuk menggalakkan perpaduan rakyat di samping memelihara hak-hak orang Melayu. – Getaran, 23 Ogos, 2024


 

View Original Article