Perpaduan Negara Depani Ujian Getir, Media Sosial Perlu Diguna Dengan Beretika

LocalPolitics
30 May 2026 • 8:01 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Perpaduan Negara Depani Ujian Getir, Media Sosial Perlu Diguna Dengan Beretika

KUALA LUMPUR - Perpaduan yang terjalin sejak sekian lama kini berdepan cabaran dan ujian getir, hasil lambakan pelbagai platform media sosial. 

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Aro Dagang berkata, kecanggihan era digital menyaksikan satu hantaran yang dimuat naik bukan sahaja mampu menyatukan masyarakat, bahkan turut berpotensi merosakkan keharmonian.

Menurut beliau, Nilai MADANI seperti hormat, ihsan dan kemampanan sosial perlu diterjemahkan dalam kehidupan harian termasuk di media sosial. 

“Cabaran era digital hari ini ialah penyebaran kebencian, berita palsu, ekstremisme dan budaya menghukum tanpa fakta.

“Apa yang kita tulis, kongsi dan komen mencerminkan tahap kematangan masyarakat kita,” katanya menerusi perutusan Hari Wesak di sini hari ini.

Jelas Aaron, setiap rakyat mempunyai tanggungjawab untuk menjadi agen perpaduan dan ia perlu dilaksanakan sehabis baik, bukan bertinsak sebagai penyebar kebencian.

“Sebab itu, rakyat Malaysia perlu menjadi masyarakat digital yang matang, berfikir sebelum berkongsi, menyemak sebelum percaya, dan menghormati walaupun berbeza pandangan.

“Kerajaan MADANI percaya bahawa dialog antara agama adalah asas penting dalam memperkukuh perpaduan negara,” katanya.

Dialog katanya, terbukti menjadi medan terbaik untuk membina kefahaman, merapatkan jurang, sekali gus memupuk rasa hormat antara masyarakat pelbagai kaum dan agama, memandangkan Malaysia dibina atas kekuatan menerima serta meraikan kepelbagaian. 

“Tema Hari Wesak Peringkat Kebangsaan tahun ini, ‘Mendepani Era Digital, Memupuk Kebijaksanaan Bersama’, membawa mesej yang sangat besar kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Sempena Hari Wesak ini, marilah kita bersama-sama memperkukuh nilai kemanusiaan, menyuburkan semangat perpaduan dan membina masyarakat digital yang lebih beretika, beradab dan penuh kebijaksanaan,” katanya. - Getaran, 30 Mei 2026

View Original Article