SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap pertelingkahan dan perselisihan yang semakin kerap berlaku dalam kalangan ahli politik sehingga boleh menimbulkan keresahan rakyat.
Baginda bertitah, keadaan itu perlu dihentikan kerana perpecahan dan pertelingkahan sesama sendiri hanya akan melemahkan orang Melayu serta umat Islam di negara ini.
"Jika kita terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri, maka kita yang akan rugi dan lemah.
"Semua pihak seharusnya mengambil iktibar daripada sejarah lampau apabila perpecahan orang Melayu Islam telah membuka ruang kepada pihak luar untuk mengambil kesempatan dan melemahkan kuasa serta kedudukan bangsa Melayu di tanah air sendiri,” titah baginda dalam Perutusan Hari Raya Aidiladha 2026 pada Khamis.
Sehubungan itu, Sultan Selangor berharap orang Melayu dan umat Islam di negara ini akan terus bersatu padu merangkumi pemimpin politik hingga rakyat jelata.
Bagaimanapun, baginda menegaskan, perpaduan orang Melayu tidak harus disalah tafsir sebagai usaha untuk bermusuhan dengan kaum lain di negara ini.
Sebaliknya, titah baginda, kekuatan sesuatu bangsa yang hidup bersatu akan menjadikan negara lebih aman, stabil dan rakyatnya saling hormat menghormati.
Baginda turut menyeru seluruh rakyat pelbagai kaum dan agama supaya terus menghormati sensitiviti antara satu sama lain serta hidup aman damai.
Dalam pada itu, baginda bertitah sambutan Aidiladha membawa pengertian besar mengenai pengorbanan, keikhlasan dan perpaduan ummah, sebagaimana ditunjukkan jutaan umat Islam yang berhimpun di Tanah Suci tanpa mengira pangkat, bangsa dan kedudukan.
"Di kesempatan sambutan Aidiladha ini juga, Beta mahu agar semua kaum, bangsa dan semua agama di negara ini saling hormat menghormati sensitiviti antara satu sama lain dan hidup aman damai.
"Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun Islam pernah mencapai zaman kegemilangan ketika era Kerajaan Uthmaniyyah apabila masyarakat berbilang bangsa hidup harmoni di bawah pemerintahan Islam," titah baginda.
Pada masa sama, baginda dan Tengku Permaisuri Selangor turut mendoakan seluruh jemaah haji Malaysia dipermudahkan urusan ibadah serta memperoleh haji mabrur.






