Persaraan mini jadi trend golongan berada, lonjak permintaan ekonomi gaya hidup premium - Laporan Kualiti Hidup HSBC

LocalBusiness & Finance
29 Sep 2025 • 10:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Persaraan mini jadi trend golongan berada, lonjak permintaan ekonomi gaya hidup premium - Laporan Kualiti Hidup HSBC

image is not available

29/09/2025 - 10:50

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Sept – Persaraan mini atau cuti rehat panjang kini menjadi trend baharu dalam kalangan golongan berada di Malaysia, dengan lebih separuh menyatakan hasrat untuk mengambil tempoh rehat kerjaya secara berkala.

Perkembangan itu dijangka memberi impak langsung kepada sektor kewangan, pelancongan, pendidikan dan gaya hidup premium di negara ini.

Laporan HSBC Quality of Life: Affluent Investor Snapshot 2025 itu mendedahkan 53 peratus individu berada di Malaysia yang bercadang untuk mengambil persaraan mini mahu melakukannya sebanyak dua hingga tiga kali sepanjang hayat.

Usia pilihan untuk memulakannya adalah sekitar 46 tahun, manakala tempoh percutian paling popular ialah antara satu hingga dua tahun.

Golongan berada ditakrifkan sebagai individu yang memiliki aset boleh dilaburkan antara USD100,000 (RM420,800) hingga USD2 juta (RM8.42 juta).

image is not available
Linda Yip

Ketua Kekayaan Antarabangsa dan Perbankan Premier HSBC Malaysia, Linda Yip berkata, persaraan mini ditakrifkan sebagai satu tempoh rehat kerjaya yang lebih panjang daripada cuti khas pekerja, lazimnya antara enam bulan hingga dua tahun.

“Persaraan mini mungkin konsep yang masih baharu di Malaysia, tetapi ia menjadi trend sejak akhir-akhir ini seiring perubahan persepsi terhadap istilah kekayaan.

“Golongan berada kini menilai kejayaan bukan sahaja daripada jumlah harta terkumpul, tetapi peluang untuk menikmati kekayaan itu melalui masa berkualiti bersama keluarga dan insan tersayang,” katanya dalam satu kenyataan.

Sepanjang tempoh itu, ramai antara mereka meluangkan masa untuk melancong, mendalami hobi atau belajar kemahiran baharu yang membawa kepada perubahan kerjaya atau gaya hidup mereka selepas itu.

Impak kepada ekonomi domestik

Kajian itu mendapati purata perbelanjaan bagi persaraan mini golongan berada Malaysia ialah AS$309,000 (RM1.3 juta).

Jumlah itu lebih rendah sedikit daripada purata global iaitu AS$339,800, tetapi lebih tinggi berbanding Australia (AS$299,000) dan Taiwan (AS$233,000).

Dari perspektif ekonomi, corak perbelanjaan itu dilihat berpotensi merangsang permintaan dalam sektor pelancongan, hospitaliti, kesihatan, pendidikan dan juga pasaran hartanah.

Dengan 61 peratus responden memilih untuk menjalankan persaraan mini di Malaysia sendiri, limpahan perbelanjaan dijangka terus memanfaatkan perniagaan domestik.

Destinasi antarabangsa pilihan warga berada Malaysia ialah Singapura (31%), Jepun (25%) dan Australia (21%), menggambarkan aspirasi mereka terhadap gaya hidup moden, akses kepada kesihatan, serta pengalaman pelancongan premium.

Faktor tarikan dan cabaran

Antara motivasi utama persaraan mini ialah meluangkan masa bersama keluarga (40%), menumpukan kepada kesejahteraan diri (36%) dan peluang mengembara tanpa kekangan (29%).

Namun, golongan berada juga berdepan cabaran, antaranya kebimbangan terhadap simpanan kewangan (42%), tanggungjawab keluarga (33%) serta kerisauan impak terhadap kerjaya (31%).

Bagaimanapun, 71 peratus responden yakin mereka mampu merancang persaraan mini dengan baik, bergantung pada simpanan peribadi (55%), dividen serta pendapatan modal (52%) dan hasil sewaan hartanah (36%).

image is not available

Perbandingan antarabangsa

Menariknya, nisbah perbelanjaan persaraan mini berbanding simpanan persaraan lazim di Malaysia hanyalah 31%, jauh lebih rendah daripada India (93%) dan Indonesia (52%).

Ini menunjukkan golongan berada Malaysia lebih berhati-hati serta mengutamakan keseimbangan antara simpanan jangka panjang dan gaya hidup berkualiti.

Perbandingan ini juga memperlihatkan daya tahan kewangan warga berada Malaysia, serta potensi mereka untuk terus menyokong industri gaya hidup premium tanpa menjejaskan matlamat persaraan penuh.

Isyarat kepada pasaran kewangan

HSBC menegaskan fenomena persaraan mini membawa mesej jelas kepada institusi kewangan untuk menyesuaikan produk dan perkhidmatan mereka.

Permintaan bagi perancangan kewangan yang lebih fleksibel, pelaburan berstruktur, serta solusi pengurusan kekayaan dijangka meningkat.

“Perkara utama bagi membolehkan persaraan mini, sama ada sekali atau beberapa kali, adalah perancangan kewangan yang khusus.

“Inilah yang menjadi fokus utama pasukan kami di HSBC,” tambah Linda Yip.

Secara keseluruhan, trend persaraan mini bukan sahaja mencerminkan perubahan gaya hidup golongan berada Malaysia, malah memberi isyarat penting kepada ekonomi untuk melihat permintaan terhadap gaya hidup premium, pelancongan berkualiti dan produk kewangan terancang akan terus berkembang selaras dengan aspirasi golongan berpendapatan tinggi. - DagangNews.com

standard