Persatuan Bimbang Pasar Malam Di KL Pupus Dalam 10 Tahun

Business & Finance
1 Aug 2024 • 9:41 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Presiden Pertubuhan Pengurusan Pasar Malam Kuala Lumpur berkata pasar malam tidak lagi menjadi pilihan utama pengunjung antaranya kerana lokasi yang tidak strategik. – Gambar Facebook

KUALA LUMPUR – Pasar malam di ibu negara dibimbangi akan pupus dalam tempoh 10 tahun sekiranya tiada tindakan diambil bagi menangani masalah yang membelenggu peniaga dan penjaja disebabkan pandemik COVID-19.

Presiden Pertubuhan Pengurusan Pasar Malam Kuala Lumpur (PMKL), Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, pasar malam tidak lagi menjadi pilihan utama pengunjung antaranya kerana lokasi yang tidak strategik. 

Menurut beliau, keadaan bertambah buruk apabila peniaga terpaksa bersaing dengan perkhidmatan makanan e-hailing.

Selain itu, kelesuan perniagan ini turut disumbangkan oleh kepesatan pembangunan di bandar, prospek perniagaan yang suram dan kawasan pasar malam yang tidak diwartakan, katanya.

"Kami berdepan banyak isu antaranya terpaksa bersaing dengan khidmat penghantaran makanan.

"Secara jujurnya, pasar malam mungkin sudah tidak wujud lagi dalam tempoh 10 tahun akan datang kerana perniagaan ini sudah tiada tarikan dan disebabkan oleh penguasaan ekonomi gig," katanya.

Gulam berkata, ketika ini PMKL menguruskan 85 lokasi pasar malam di sekitar Kuala Lumpur.

"Sebanyak 12 pasar malam ditutup sejak tahun lepas. Kami tidak terkejut jika jumlah itu meningkat dalam masa terdekat,” katanya.

Gulam Muszaffar juga berkata dalam tempoh enam bulan lalu, hasil jualan peniaga pasar malam merosot sehingga 50 peratus.

"Tahun lepas kami mendapat untung sehingga 30 peratus. Tetapi sekarang berkurang kepada 10 hingga 15 peratus sahaja bergantung kepada lokasi.

"Ini disebabkan oleh kos sara hidup serta harga barang dan perkhidmatan yang tinggi, jadi pelanggan perlu berhati-hati berbelanja.

"Misalnya, pasar malam di Taman Melawati sebelum ini boleh tarik kira-kira 2,000 pengunjung tetapi sekarang susut kepada hanya 600 hingga 700 orang.

"Kalau dulu peniaga boleh untung RM3,000 sebulan, sekarang dah berkurang kepada RM1,500. Lebih-lebih lagi mereka tinggal di Kuala Lumpur di mana kos sara hidup tinggi," jelasnya, sambil menambah, masalah kekurangan ruang tempat letak kenderaan selain kesesakan lalu lintas di kawasa pasar malam juga menjadi antara faktor penyumbang.

Selain itu katanya, projek pembangunan di ibu kota juga menyebabkan lokasi pasar malam yang telah beroperasi selama bertahun-tahun lamanya terpaksa dipindahkan.

"Sambutan daripada orang ramai tidak akan sama apabila pasar malam berpindah ke lokasi baharu. Jadi apabila selepas beberapa bulan perniagaan tidak jalan makan peniaga terpaksalah berhenti berniaga.

"Sekiranya tiada tindakan daripada pihak berkuasa untuk menaik taraf pasar malam, ini akan menyusahkan peniaga. Justeru, kami menggesa pihak berkuasa supaya menaik taraf dan mengekalkan tapak asal pasar malam," ujar beliau.

Gulam Muszaffar selain itu berkata, pihak berkuasa perlu berani untuk melaksanakan tindakan radikal supaya perniagaan pasar malam tidak pupus. –  Getaran, 1 Ogos, 2024