Persatuan Darul Ridzuan sasar tarik semula ahli profesional, perkasa ekonomi

LocalBusiness & Finance
5 May 2026 • 10:44 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Persatuan Darul Ridzuan sasar tarik semula ahli profesional, perkasa ekonomi
Persatuan Darul Ridzuan bagi Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memfokuskan pengukuhan ukhuwah, kebajikan serta pembangunan ekonomi dalam kalangan ahlinya. Gambar kecil: Abu Hasan

IPOH – Persatuan Darul Ridzuan bagi Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menggariskan hala tuju baharu yang memfokuskan pengukuhan ukhuwah, kebajikan serta pembangunan ekonomi dalam kalangan ahlinya.

Presidennya, Datuk Abu Hasan Asha’ari Alang Jaman berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan persatuan yang telah lama ditubuhkan itu tidak hanya dilihat sebagai platform nostalgia anak negeri.

Menurutnya, persatuan berkenaan perlu berkembang sebagai sebuah gerakan yang memberi manfaat menyeluruh kepada masyarakat Perak, khususnya yang menetap di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

“Persatuan ini mempunyai potensi besar jika digerakkan sebagai satu gerakan yang memfokuskan kepada ukhuwah, kebajikan, ekonomi, pendidikan serta digitalisasi.

“Kita mahu menghidupkan semula peranan persatuan dengan pendekatan lebih segar dan relevan dengan keperluan semasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahli perniagaan kelahiran Kampung Gajah itu berkata, antara keutamaan awal adalah melaksanakan kempen keahlian secara agresif bagi menarik semula penyertaan golongan profesional, penjawat awam dan korporat yang berasal dari Perak.

Katanya, usaha tersebut penting bagi memperkukuh semula jaringan keahlian selain mengembalikan kegemilangan persatuan seperti era 1970-an dan 1980-an yang menyaksikan penyertaan aktif golongan berpengaruh.

“Ramai dalam kalangan mereka sebenarnya pernah menjadi ahli, namun kini tidak lagi aktif.

“Kita mahu menarik semula mereka supaya wujud kesinambungan dengan keahlian baharu yang lebih dinamik,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mencadangkan penubuhan koperasi sebagai platform strategik memperkukuh kedudukan ekonomi ahli secara lebih tersusun dan mampan.

Jelasnya, penubuhan koperasi bukan sahaja berperanan menjana pendapatan kepada persatuan, malah membuka ruang kepada ahli terlibat dalam pelbagai aktiviti perniagaan termasuk sektor pelancongan, keusahawanan dan pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"Kita mahu menyediakan peluang kepada anak-anak Perak di perantauan untuk sama-sama membina kekuatan ekonomi, di samping mempromosikan potensi negeri Perak khususnya dalam sektor pelancongan dan warisan,” katanya.

Persatuan Darul Ridzuan yang ditubuhkan pada tahun 1962 kini mempunyai lebih 2,000 ahli.

Terdahulu, Abu Hasan dipilih sebagai Presiden baharu bagi sesi 2026 hingga 2029 menggantikan penyandang sebelum ini, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

Pemilihan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-64 yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini, turut menyaksikan Datuk Mohd Saffian Mohamed Omar kekal sebagai Timbalan Presiden tanpa bertanding.

Jawatan Naib Presiden pula disandang oleh Ar Wan Muhd Hisham Wan Hawari, Datuk Abdul Aziz Mat dan Datin Seri Ismalina Ismail.

Selain itu, sembilan ahli jawatankuasa turut dipilih bagi melengkapkan barisan kepimpinan baharu yang turut menyaksikan kemasukan beberapa muka baharu.