
Kota Kinabalu: Persatuan India Sabah (SIA) menyatakan sokongan dan penghargaan penuh terhadap cadangan penubuhan Konsulat India di Sabah seperti yang baru-baru ini dilaporkan media.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, persatuan itu berkata pembukaan Konsulat India di Sabah merupakan tanda keyakinan penting terhadap kemajuan ekonomi negeri, lokasi strategiknya serta kepentingan yang semakin meningkat dalam rangkaian perdagangan serantau dan antarabangsa.
Ia juga mencerminkan pengukuhan hubungan diplomatik dan ekonomi antara Malaysia dan India.
“Ekonomi Sabah yang semakin berkembang, khususnya dalam industri hiliran, minyak sawit, logistik, pelancongan dan pembangunan pelabuhan, menawarkan peluang luas untuk kerjasama dua hala.
“Kehadiran Konsulat India di Sabah akan memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan antara Sabah dan India; memudah cara penglibatan perniagaan ke perniagaan serta akses pasaran; meningkatkan aliran pelancongan antara India dan Sabah; menggalakkan pertukaran pendidikan, kebudayaan dan profesional; serta menyediakan perkhidmatan konsular yang cekap kepada warga India dan komuniti India tempatan di Sabah,” menurut kenyataan itu.
SIA berkata komuniti India di Sabah telah memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan sosioekonomi negeri selama beberapa generasi.
Penubuhan konsulat itu akan terus memperkukuh penglibatan secara institusi, memperdalam hubungan rakyat dengan rakyat serta menyokong kerjasama masa depan.
Persatuan itu percaya perkembangan berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti India, malah kepada landskap ekonomi Sabah secara keseluruhan serta hubungan antarabangsa negeri.
“Kami dengan hormat menyeru semua pihak berkepentingan supaya melihat inisiatif ini sebagai langkah progresif ke arah memperkukuh hubungan dua hala serta menggalakkan pertumbuhan inklusif untuk Sabah.
“Persatuan India Sabah bersedia untuk bekerjasama sepenuhnya dalam menyokong inisiatif yang memperkukuh hubungan Malaysia–India demi manfaat bersama kedua-dua negara,” katanya.


