Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia kecam tindakan MCMC sekat akses portal TV Pertiwi tanpa notis
zulfadli
18/08/2023 - 17:34
KUALA LUMPUR 18 Ogos - Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia memandang serius dan mengecam tindakan pihak berkuasa menyekat akses tanpa notis dan sebab ke atas portal berita dalam talian, TV Pertiwi dan beberapa portal lain sejak kebelakangan ini.
Presiden persatuan itu, Nik Suryani Megat Deraman berkata, tindakan ini juga bercanggah dengan tema "Media Bebas, Tunjang Demokrasi" semasa sambutan Hari Kewartawanan Nasional (HAWANA) 2023 pada Mei lalu yang mana perdana menteri dan kerajaan memberi jaminan kebebasan media kepada pengamal media di negara ini.
"Tindakan seperti ini juga dikhuatiri akan menjejaskan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media yang kini sudah berada di kedudukan 73 daripada 180 negara dengan skor 62.83.
"Persatuan sekali lagi memohon pihak berkuasa agar menghormati serta memastikan pengamal media di negara ini diberi kebebasan dalam menjalankan tugas dengan berlandaskan etika kewartawanan sedia ada, selaras dengan jaminan dan dasar Kerajaan Perpaduan," katanya dalam kenyataan media di sini.
Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kekal teguh dan serius dalam menjalankan kewajipannya di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) bagi menghalang sebarang perlakuan atau percubaan melakukan kesalahan, terutamanya berkaitan dengan maklumat yang salah atau tidak tepat.
MCMC berkata, dalam proses penilaian terhadap TV Pertiwi, MCMC berusaha untuk menjalankan tugas kawal selia dengan penuh bertanggungjawab.
Katanya, sebarang tindakan yang diambil adalah tertakluk kepada siasatan bagi memastikan integriti dan keselamatan maklumat yang disebarkan melalui kandungan atau platform media berkenaan.

"MCMC akan sentiasa memelihara kedaulatan undang-undang dan menjaga kepentingan awam," katanya dalam kenyataan media. - DagangNews.com
