Persatuan Pemamer Filem Malaysia Sangkal Dakwaan Cuba Sabotaj Tayangan Filem Anwar: The Untold Story 

Movie
24 May 2023 • 6:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
MAFE menyangkal dakwaan cuba mensabotaj filem Anwar: The Untold Story dengan mengurangkan slot tayangan di 124 pawagam negara. - Gambar PR

Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) menyangkal dakwaan cuba mensabotaj filem Anwar: The Untold Story dengan mengurangkan slot tayangan di 124 pawagam negara.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, MAFE berkata, pihak mereka sentiasa menyokong penerbitan produksi tempatan termasuk filem Anwar: The Untold Story. Bahkan, pihak mereka juga sentiasa memperjuangkan pertumbuhan industri perfileman tempatan. 

Kenyataan itu dibuat MAFE susulan daripada dakwaan daripada pihak produksi filem Anwar: The Untold Story bahawa terdapat sesetengah pawagam cuba mensabotaj tayangan naskhah biopik yang memaparkan kisah jatuh bangun perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

image is not available
Filem biopik ini pada awalnya telah berjaya mencatat kutipan sebanyak RM1 juta pada hari pertama tayangan. - Gambar PR

Filem biopik tentang teras perjuangan Anwar dalam menentang rasuah ini pada awalnya telah berjaya mencatat kutipan sebanyak RM1 juta pada hari pertama tayangan pada Rabu lalu (18 Mei). 

Bagaimanapun, jumlah kutipan filem terbitan Bianglala Entertaiment dan Yusrych Global Sdn Bhd serta edaran DMY Creation untuk minggu pertama secara keseluruhan gagal mencapai sasaran. 

Berhubung dakwaan isu sabotaj produksi filem Anwar: The Untold Story itu pula, pihak Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memaklumkan akan menyiasat perkara tersebut dengan lebih lanjut. 

MAFE dalam kenyataannya juga menjelaskan bahawa pempamer pawagam tempatan mempunyai purata 5 masa tayangan filem untuk Anwar: The Untold Story yang dijadualkan di setiap lokasi, meliputi 70 peratus  lokasi di seluruh negara. - Getaran, 24 Mei 2023