amree01/07/2026 - 12:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 1 Julai — Persatuan Penyelidik Pasaran Malaysia (MRSM) secara rasmi melantik See Toh Wai Yu sebagai Presiden baharu bagi menerajui industri itu mengharungi fasa teknologi yang pesat.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Central Force International, dipilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-19 sebagai menggantikan penyandang, Paromeeta Banerjee dari Kantar Malaysia.
Wai Yu menetapkan agenda ‘Kepimpinan Kolaboratif’ sebagai tema utama untuk memperkukuh piawaian analisis melalui kerjasama merentas industri antara jenama, penyedia teknologi, dan penggubal.
"Penggunaan kecerdasan buatan (AI) tidak dikawal dalam laporan pasaran menjadi ancaman integriti data korporat, menyebabkan keputusan perniagaan lemah dan mengikis keyakinan pelabur," katanya.
Wai Yu menegaskan walaupun AI membentuk semula landskap perniagaan, industri penyelidikan pasaran harus bergerak pantas melindungi isu ketepatan, etika, dan penilaian manusia agar data tetap telus.
Menzahirkan hala tuju ini, Jawatankuasa Eksekutif MRSM baharu kini menggabungkan pelbagai pakar penyelidikan kuantitatif dan kualitatif, serta wakil syarikat besar dan firma teknologi Cookiy AI.
Sejak ditubuhkan pada 2007, MRSM kekal sebagai badan tunggal diiktiraf untuk penyelidikan pemasaran di Malaysia bertujuan menyokong pertumbuhan pengamal industri dan memajukan amalan profesional.
Pada AGM itu, Wai Yu turut memberi penekanan terhadap Kod Antarabangsa ICC/ESOMAR yang dikemas kini, untuk penggunaan AI secara lebih bertanggungjawab serta perlindungan data yang kukuh.
"AI digunakan tanpa pemahaman sumber data dan metodologi membawa risiko tinggi, justeru organisasi perlu berhati-hati dalam menggunakan laporan dijana sepenuhnya oleh teknologi tersebut," tegasnya.
Dengan latar belakang beliau menerajui Central Force International, Wai Yu dijangka memperkasakan peranan wawasan kredibel dalam membentuk landskap perniagaan dan dasar negara. - DagangNews.com





