Persatuan Perniagaan Malaysia-Kemboja puji peranan negara dalam rundingan gencatan senjata Thailand-Kemboja

29/07/2025 - 12:03
Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) mengadakan sesi dialog bersama Hun Manet (kiri) dan Phumtham Wechayachai (kanan) di Putrajaya kelmarin. - Gambar/ FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR 29 Julai - Persatuan Perniagaan Malaysia-Kemboja (MCBA) memuji peranan kepimpinan Malaysia dalam merundingkan gencatan senjata segera antara Thailand dan Kemboja, susulan satu mesyuarat khas yang diadakan di Putrajaya.
Presiden pengasas MCBA, Datuk Seri Ricky Yaw memuji Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas diplomasi proaktif beliau, sambil menyatakan, MCBA sebagai platform yang didedikasikan untuk kerjasama ekonomi serantau, mengalu-alukan kepimpinan Malaysia dalam kapasiti Anwar selaku Pengerusi ASEAN.
Beliau berkata, usaha Anwar membawa pemimpin kedua-dua negara ke Kuala Lumpur bagi mengadakan dialog segera sebagai respon terhadap ketegangan yang memuncak di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja.
"Gencatan senjata ini adalah langkah penting ke arah memulihkan keamanan dan kestabilan serantau. Kami merakamkan setinggi-tinggi penghormatan kepada Malaysia atas kepimpinan yang ditunjukkan dalam memudahkan kejayaan ini.
"Pada masa yang sama, kami turut memberi penghormatan tinggi kepada Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai atas kebijaksanaan politik dan keberanian mereka dalam membuat keputusan bertanggungjawab yang mengimbangi kepentingan negara dan keamanan serantau,” katanya dalam satu kenyataan.
Ricky berkata, MCBA sebagai sebuah persatuan perniagaan serantau yang mempromosikan keamanan, perdagangan dan pelaburan, percaya sepenuhnya pertumbuhan ekonomi mesti berteraskan saling menghormati, kerjasama serantau dan kestabilan jangka panjang.
“Kami menggesa semua negara anggota ASEAN untuk terus menyokong usaha diplomatik dan mekanisme pembinaan kepercayaan bagi mengelakkan ketegangan berlanjutan serta mengukuhkan persefahaman bersama. Keamanan sentiasa menjadi asas kepada kemakmuran,” katanya.
Beliau berkata, MCBA kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan di Kemboja, Thailand dan seluruh rantau ASEAN dalam mempromosikan kewujudan bersama secara aman dan daya tahan ekonomi.
Semalam, Hun Manet dan Wechayachai telah bersetuju untuk melaksanakan “gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat” berhubung pertikaian sempadan yang sedang berlaku, susulan mesyuarat khas yang dirundingkan oleh Anwar di kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia, Kompleks Seri Perdana di Putrajaya.
Kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu mempunyai sejarah panjang ketegangan diplomatik melibatkan kawasan sepanjang 817 kilometer sempadan bersama yang belum dimuktamadkan.
Ketegangan mula memuncak sejak 28 Mei lalu, susulan pertempuran antara pasukan tentera berhampiran kawasan pertikaian Preah Vihear, yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.- BERNAMA
standard
