Persatuan Rungus digesa terus bersatu

27 Mar 2023 • 4:24 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

KUDAT: Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahab, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam memuji penganjuran majlis hari keluarga Persatuan Rungus Bersatu Sabah (PRBS) di Matunggong pada Sabtu.

Ketika merasmikan majlis itu, beliau menyeru agar ahli persatuan itu terus bersatu demi kelangsungan identiti kebudayaan yang diwarisi.

Menurutnya, suku Rungus merupakan salah satu rumpun Dusun di Sabah, semua suku yang ada di negeri ini termasuk Rungus adalah dikawal selia oleh Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA).

“Sekiranya tidak bersatu dan tiada usaha untuk menyatu-padukan etnik di Sabah maka kita akan kehilangan identiti atau kebudayaan ini,” katanya.

Joachim yang juga Timbalan Presiden KDCA, menggalakkan orang Rungus untuk terus melibatkan diri dengan aktiviti seperti menyulam manik-manik kerana suku ini sudah sinonim dengan perniagaan manik-manik di negeri ini.

Sementara itu, Joachim turut memuji usaha yang telah dilaksanakan oleh Presiden PRBS iaitu, OKK Makinsos Nawai dalam menganjurkan program ini. Sementara itu, Makinsos berkata, penubuhan PRBS ialah bertujuan memartabatkan lagi adat istiadat Rungus di daerah ini.

Katanya, program itu merupakan acara tahunan yang julung kali diadakan selepas pandemik Covid-19, dan sebagai pengisian program, beberapa aktiviti diadakan antaranya sukaneka dan majlis makan malam.

Makinsos amat menghargai kehadiran Joachim bagi merasmikan Hari Keluarga PRBS pada kali ini selain menjadikannya sebagai suntikan semangat untuk memartabatkan lagi persatuan tersebut.

Terdahulu, Dr Joachim menghadiri mesyuarat Ahli Jawatankuasa KDCA di Kota Kinabalu yang dipengerusikan oleh Presiden KDCA, Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Turut hadir Pegawai Pemimpin Masyarakat Daerah Kecil Matunggong, Epson Kawahui mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Matunggong, Datuk Julita Majungki, Pengerusi Penganjur Majlis Hari Keluarga Frankey Suin, Presiden Tobilung Bersatu Sabah (Tobisa), Muji Ampau, Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Christoper Mandut, Ketua Daerah Kecil Matunggong dan Kota Marudu, OKK Samuil Majuin dan OKK Elui Majikin.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.