
Kota Kinabalu: Persatuan Wartawan Sabah (SJA) mencadangkan supaya Tabung Kasih@Hawana memperluas skop bantuannya dengan menyediakan kemudahan saringan kesihatan awal kepada pengamal media khususnya mereka yang berisiko mengalami masalah kesihatan akibat tuntutan tugas.
Presidennya Mariah Doksil berkata kemudahan itu dapat membantu pengamal media mengenal pasti masalah kesihatan lebih awal sekali gus membolehkan mereka mendapatkan pemeriksaan dan rawatan sewajarnya.
Bercakap kepada Bernama, Mariah berkata langkah itu penting untuk dipertimbangkan memandangkan sesetengah tugas kewartawanan memerlukan pengamal media melakukan kerja fizikal termasuk mengangkat peralatan berat ketika bertugas.
“Tuntutan kerja sedemikian boleh mendedahkan pengamal media kepada risiko masalah kesihatan yang mungkin tidak disedari pada peringkat awal.
“Kita dapat lihat kepentingan pengesanan awal kesihatan menerusi pengalaman seorang penerima bantuan Tabung Kasih@Hawana hari ini yang hanya mengetahui dirinya mengalami masalah slipped disc selepas menjalani pemeriksaan lanjut.
“Pada awalnya, penerima ini yang bertugas sebagai jurukamera TV3 di Sabah mendapatkan rawatan bagi penyakit denggi dan memaklumkan kepada doktor mengenai kesakitan pada bahagian belakang,” katanya.
Terdahulu, Mariah menghadiri majlis penyerahan bantuan Tabung Kasih@Hawana yang disempurnakan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching di Pejabat Biro Bernama Sabah, Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di sini pada Ahad.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Biro Bernama Sabah Fadzli Ramli.
Mariah berharap kemudahan saringan kesihatan dapat dipertimbangkan sebagai antara bentuk bantuan di bawah tabung berkenaan khususnya bagi pengamal media yang berisiko.
Beliau berkata peluasan skop bantuan itu dapat melengkapi bantuan kewangan sedia ada dengan memberi perhatian kepada aspek pencegahan dan pengesanan awal masalah kesihatan dalam kalangan pengamal media.
Sementara itu, Mariah berkata SJA turut menggalakkan pengamal media dan bekas wartawan di Sabah yang berdepan masalah kesihatan atau kesukaran hidup supaya tidak berasa malu untuk mendapatkan bantuan menerusi Tabung Kasih@Hawana.
Beliau berkata masih ramai pengamal media di Sabah yang segan untuk dicalonkan sebagai penerima, dengan jumlah penerima di negeri itu setakat ini masih kurang daripada 40 orang sejak tabung berkenaan diperkenalkan pada 2023.
“SJA berperanan mengenal pasti pengamal media yang memerlukan bantuan sebelum mengemukakan pencalonan kepada Bernama selaku urus setia tabung berkenaan,” katanya.
Sehingga hari ini, Tabung Kasih@Hawana hasil inisiatif Kementerian Komunikasi telah menyalurkan bantuan berjumlah RM2.54 juta kepada 864 pengamal media dan veteran wartawan dengan 37 daripadanya adalah dari Sabah.
Bagi tahun ini, tabung berkenaan menerima sokongan daripada Telekom Malaysia (TM) untuk membantu pengamal media yang memerlukan.

