Persekutuan Industri Sabah gesa Kerajaan Persekutuan laksana skim Subsidi Diesel BUDI khusus mengikut keperluan rakyat negeri itu

LocalBusiness & Finance
10 Jul 2026 • 6:06 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Persekutuan Industri Sabah gesa Kerajaan Persekutuan laksana skim Subsidi Diesel BUDI khusus mengikut keperluan rakyat negeri itu Image from: Persekutuan Industri Sabah gesa Kerajaan Persekutuan laksana skim Subsidi Diesel BUDI khusus mengikut keperluan rakyat negeri itu hamden10/07/2026 - 18:06 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KOTA KINABALU 10 Julai – Persekutuan Industri Sabah (FSI) menggesa Kerajaan Persekutuan mengambil pendekatan yang lebih fleksibel dalam pelaksanaan Skim Subsidi Diesel BUDI di Sabah dengan memperkenalkan langkah perlindungan khusus bagi negeri itu bagi mengelakkan peningkatan kos kepada sektor perniagaan dan komuniti setempat.

 

Naib Presiden (Perhubungan Kerajaan dan Industri) FSI, Sylvester Chua berkata, walaupun pihaknya menyokong pelaksanaan subsidi bersasar, ciri geografi serta kekangan infrastruktur Sabah memerlukan pelaksanaan skim yang berbeza berbanding negeri-negeri lain.

 

Menurut beliau, Sabah masih bergantung secara meluas kepada diesel bagi menyokong sektor pengangkutan, logistik, pertanian, perikanan serta aktiviti ekonomi dan kehidupan masyarakat luar bandar.

 

"Pelaksanaan skim tanpa mengambil kira keadaan unik Sabah boleh meningkatkan kos operasi syarikat, menjejaskan rantaian bekalan serta akhirnya menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan kepada pengguna.

 

"Kuota diesel yang tidak mencukupi, kelewatan dalam proses kelulusan atau prosedur permohonan yang rumit berpotensi mengganggu operasi perniagaan, khususnya perusahaan yang bergantung kepada bekalan diesel setiap hari," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sehubungan itu, FSI mengemukakan beberapa cadangan bagi memastikan pelaksanaan Skim Subsidi Diesel BUDI lebih berkesan di Sabah.

 

Antaranya ialah memastikan kuota diesel ditetapkan berdasarkan keperluan operasi sebenar syarikat, mempercepatkan proses kelulusan dan rayuan, mempermudah prosedur permohonan serta menambah pusat sokongan di peringkat daerah bagi membantu syarikat membuat permohonan.

 

Selain itu, FSI turut menggesa kerajaan mengadakan sesi libat urus secara berkala bersama persatuan industri di Sabah bagi mengenal pasti isu pelaksanaan dan melakukan penambahbaikan secara berterusan.

 

Sylvester berkata, pendekatan yang mengambil kira keperluan khusus Sabah bukan sahaja dapat memastikan objektif rasionalisasi subsidi diesel dicapai, malah mampu melindungi kelangsungan operasi perniagaan, mata pencarian rakyat serta memperkukuh daya tahan ekonomi negeri dalam jangka panjang. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved