Persekutuan komited teruskan rundingan hak 40 peratus

LocalPolitics
30 Jan 2026 • 4:28 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kerajaan Persekutuan meneruskan proses rundingan bersama Kerajaan Sabah pada 17 Nov 2025 untuk melaksanakan semakan semula amaun pemberian khas 40 peratus.

Semakan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan itu dibuat dengan mengambil kira keperluan Kerajaan Sabah berkaitan kos perkhidmatan negeri serta kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan.

Kementerian Kewangan menyatakan demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau (gambar), di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Dalam sesi pertanyaan lisan itu, Madius meminta Menteri Kewangan menyatakan sama ada Kerajaan Persekutuan komited melaksanakan hak perlembagaan Sabah sebanyak 40 peratus serta sejauh mana kemajuan rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah dalam melaksanakan hak tersebut.

Pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli itu dijawab apabila Menteri Kewangan memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Okt 2025 berhubung kajian semula pemberian khas kepada Sabah.

“Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung pemberian khas pada kadar 40 peratus daripada amaun hasil bersih yang diperoleh Kerajaan Persekutuan daripada Sabah,” katanya.

Menurut kementerian itu, Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip pemberian khas sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dengan meneruskan proses rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah pada 17 Nov 2025.

Katanya, rundingan tersebut membincangkan penubuhan Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas Peringkat Pegawai antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah, termasuk keanggotaannya.

“Selain itu, turut dibincangkan ialah terma rujukan yang akan digunakan sebagai panduan semasa rundingan dilaksanakan. Rundingan seterusnya dijadualkan pada 28 Jan 2026,” tambahnya.

Kementerian Kewangan berkata, mengambil kira tempoh yang terhad untuk mencapai persetujuan bersama, kedua-dua kerajaan menyatakan komitmen untuk melaksanakan perbincangan secara progresif bagi memastikan proses rundingan berjalan dengan teratur.