
PUTRAJAYA: Persembahan petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bertajuk “Harga Sebuah Berita” mencipta suasana sayu pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di sini hari ini.
Menteri Fahmi Fadzil turut tersentuh dengan persembahan itu dan menzahirkannya dalam catatan di laman Facebooknya.
“Perhimpunan Bulanan bersama Warga KKD pagi ini agak sayu dan sebak apabila dimulakan dengan persembahan pasukan Bernama.
“Dalam persembahan tersebut, mereka menceritakan bagaimana seorang jurukamera diberikan tugasan kerja ke Somalia seminggu sebelum Hari Raya Puasa.
“Selepas selesai merakam misi kemanusiaan, di dalam kenderaan, beliau ditembak oleh pengganas Somalia.
“Sedihnya, ini bukan kisah rekaan. Ini kisah benar,” kata Fahmi dalam hantaran itu hari ini.
Jurukamera Bernama, Noramfaizul Mohd Nor, maut akibat terkena tembakan peluru sesat ketika sedang berkhidmat membuat liputan misi kemanusiaan di Somalia pada 2 Sept 2011.
“Itulah harga sebuah berita. Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.
Ramai warga KKD yang berada di Dewan Serbaguna kementerian dilihat mengesat air mata semasa persembahan tersebut yang berlatarbelakangkan rakaman video kejadian sebenar di Mogadishu itu.
Turut hadir pada majlis perhimpunan yang dihoskan Bernama itu adalah Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Roslan Ariffin.
Pada perhimpunan itu, Roslan turut mengetuai bacaan ikrar Rukun Negara bersama warga KKD.


