'Persiapan kahwin dah buat' - Ibu pilu anak koma dirempuh pemandu mabuk

Local
18 May 2026 • 3:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Persiapan kahwin dah buat' - Ibu pilu anak koma dirempuh pemandu mabuk
Kejadian kemalangan yang menimpa Zulfiqar Zamir.
Image from: 'Persiapan kahwin dah buat' - Ibu pilu anak koma dirempuh pemandu mabuk
Hamidah dan Nurul Syafiqah

KLANG – Seorang ibu tidak dapat menahan kesedihan apabila anaknya, Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, 27 dilaporkan parah dan koma selepas dirempuh kereta dipandu lelaki dipercayai mabuk dan melawan arus di Persiaran Kota di sini minggu lalu.

Hamidah Othman, 54, berkata, anaknya yang berusia 27 tahun itu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

Suri rumah itu berkata, anaknya yang bekerja sebagai penasihat servis di sebuah syarikat automotif, terpaksa ditidurkan selepas mengalami pendarahan otak.

Menurutnya, mangsa yang juga anak sulung daripada empat beradik itu turut mengalami pelbagai kecederaan serius termasuk patah tangan, kaki kanan, tulang belikat serta tiga jari.

“Anak saya masih belum sedarkan diri dan doktor memaklumkan pendarahan di kepalanya sangat serius.

"Saya berharap pendakwaan terhadap tertuduh, akan memberi keadilan buat anak saya malah kami sekeluarga tidak mahu orang lain menerima nasib sama akibat pemandu mabuk,” katanya.

Hamidah berkata, lebih memilukan kejadian berlaku beberapa bulan sebelum Zulfiqar Zamir ke jinjang pelamin.

Demi mencari pendapatan tambahan katanya, Zulfiqar Zamir bekerja secara sambilan sebagai penghantar makanan.

"Semua persediaan perkahwinan telah dibuat dan majlis dijadualkan berlangsung di Pasir Gudang, Johor pada Disember depan.

“Dia menunggang motosikal di jalan yang betul tapi masih berdepan kemalangan,” katanya ketika hadir ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.

Sehingga kini Hamidah berkata, tiada wakil keluarga pemandu terbabit tampil bertemu mereka.

**media[3524561]**

Sementara itu, tunang mangsa, Nurul Syafiqah Ridzuan, 25, berkata, persiapan bagi majlis pernikahan dilakukan sejak tali pertunangan dibuat, pada cuti Hari Raya Aidiladha, tahun lalu.

“Sewaktu kejadian, saya terdetik untuk menghubunginya namun terkejut apabila menerima panggilan daripada bakal adik ipar, memaklumkan kejadian yang menimpa tunang.

“Kami menantikan keajaiban jadi saya mohon doa orang ramai supaya dia sembuh seperti sedia kala,” katanya.

Pada Isnin, pembantu perancang acara sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan memandu secara mabuk sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal parah dalam kemalangan minggu lalu.

Low Kean Peng, 35, yang memakai baju-T berwarna coklat dan berseluar pendek, didakwa memandu kenderaan dengan kadar alkohol sebanyak 196 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) kandungan darah, iaitu melebihi 146mg yang dibenarkan untuk memandu.

Untuk rekod, had alkohol yang dibenarkan untuk mengendalikan kenderaan di Malaysia ialah sebanyak 50mg alkohol dalam setiap 100 ml darah.

Kesalahan itu menyebabkan kecederaan parah kepada penunggang motosikal Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, 27, di Persiaran Kota di sini, jam 12.35 tengah malam, 13 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pindaan 2020, yang membawa hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun, denda RM30,000 hingga RM50,000, hilang kelayakan memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu tidak kurang tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Hue berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang menunggang motosikal mengalami kecederaan parah selepas tercampak sejurus dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Bezza.

Beliau berkata, kenderaan yang dipandu suspek dipercayai bergerak dari arah Pelabuhan Klang ke Shah Alam, secara melulu dan melawan arus sejauh 3.5 kilometer sebelum merempuh motosikal mangsa.

 

View Original Article