MAKKAH – Persiapan menyeluruh oleh Lembaga Tabung Haji (TH) bersama rakan pengendali tempatan menjadi faktor utama yang membolehkan jemaah haji Malaysia menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah sepanjang berada di Tanah Suci.
Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir berkata, tahap kesiapsiagaan TH berada pada tahap terbaik hasil pemantauan rapi yang dilaksanakan sejak dua bulan lalu di Jeddah.
Menurut beliau, kerjasama erat antara TH dan penyedia perkhidmatan tempatan, Holiday Inn Bakkah membantu memastikan setiap aspek pengurusan jemaah dilaksanakan secara tersusun dan berfokus kepada kebajikan.
“Alhamdulillah, Tabung Haji telah bersungguh-sungguh bersama penyedia perkhidmatan tempatan untuk memastikan kebajikan jemaah terjamin supaya mereka boleh fokus 100 peratus kepada ibadah. Ini adalah objektif utama kita semua,” katanya yang ditemui selepas menghadiri Majlis Ta’aruf Operasi Haji 2026 di sini, pada Khamis.
Tambah beliau, sebagai Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, pihaknya memikul tanggungjawab untuk memastikan kelancaran urusan jemaah Malaysia di Tanah Suci, yang turut dipermudahkan melalui persiapan awal dan teratur oleh TH.

