
PUTRAJAYA: Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam ke-27 Tahun 2023 akan berlangsung di Shah Alam, Selangor minggu depan bagi membina daya bingkas penjawat awam dalam usaha memantapkan perkhidmatan awam.
Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Dr Abdul Jalil Hassan berkata daya bingkas, ialah kemampuan atau keupayaan penjawat awam untuk terus bergerak, apabila berlaku sesuatu atau ketika menghadapi cabaran dan kesulitan, dalam kehidupan mahupun pekerjaan.
“Keupayaan itu merupakan kualiti penting yang perlu ada, memandangkan penjawat awam sentiasa menghadapi cabaran, tekanan dan situasi kompleks, setiap hari.
“Mereka dipertanggungjawabkan untuk menjaga amanah rakyat dan memastikan kelancaran perkhidmatan awam. Bagi menzahirkan daya bingkas dalam kalangan penjawat awam, tumpuan harus diberikan kepada kesejahteraan mental, emosi dan fizikal mereka,” katanya kepada Bernama.
Dr Abdul Jalil berkata beberapa komponen perlu diberi tumpuan sewajarnya, bagi membangunkan daya bingkas penjawat awam antaranya kesihatan mental, latihan dan pendidikan, kesihatan fizikal dan kecergasan, keseimbangan kerja dan kehidupan, teknik pengurusan tekanan, serta intervensi krisis dan debriefing bagi mencegah perkembangan gangguan tekanan selepas trauma (PTSD).
“Pentingnya membina daya bingkas penjawat awam bukan sahaja untuk kesejahteraan mereka, tetapi juga untuk komuniti mereka berkhidmat,” katanya.
Dr Abdul Jalil berkata dengan memberi penumpuan kepada kesihatan mental, latihan, kecergasan fizikal, kepimpinan dan keseimbangan, akan membolehkan agensi memperkasa pegawai masing-masing untuk berkembang maju dalam penugasan mereka.
“Pegawai yang dilengkapi dengan kemahiran daya bingkas dapat menangani kesukaran, membuat keputusan yang tepat, sekali gus membawa kesan positif kepada perkhidmatan awam,” katanya.
Persidangan dua hari bermula 26 Sept itu, akan diadakan di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam, dengan bertemakan PRISMA yang membawa maksud Profesionalisme, Integriti, Sahsiah dan Amanah.
Seramai 500 peserta terdiri daripada pegawai psikologi, pengurus sumber manusia dan pegawai integriti dari pelbagai kementerian, jabatan, agensi, pegawai rakan pembimbing perkhidmatan awam (Akrab), ahli akademik serta pensyarah dari institusi pengajian tinggi awam akan menyertai persidangan itu. - Bernama

