Persidangan VCI Global rungkai strategi kejayaan IPO di pasaran modal AS kepada lebih 200 peserta
diyana
02/11/2023 - 12:49
KUALA LUMPUR 2 Nov - Persidangan Tawaran Awam Permulaan (IPO) 2023 anjuran VCI Global Limited merungkai strategi pelaksanaan IPO yang berjaya dalam pasaran modal Amerika Syarikat (AS) kepada lebih 200 peserta, yang terdiri daripada pemimpin industri dan perniagaan.
VCI Global ialah syarikat Malaysia tersenarai di pasaran Nasdaq, yang merupakan kumpulan perunding pelbagai disiplin yang menyediakan perkhidmatan perundingan dalam bidang perniagaan dan teknologi.
Sejajar dengan tema persidangan ‘Perjalanan ke Pasaran Modal AS’, objektif utama persidangan itu adalah untuk menjadi platform bagi syarikat, pelabur dan profesional industri untuk mendapatkan pengetahuan mendalam berhubung strategi melaksanakan IPO yang berjaya dalam pasaran modal AS.
Persidangan yang diadakan di Grand Hyatt Kuala Lumpur dari 25 hingga 26 Oktober itu menjadi platform perkongsian pandangan mengenai dinamik dan peluang pasaran modal AS, trend pasaran modal semasa dan penyenaraian merentas sempadan di AS, antara lain.
Acara tersebut menampilkan penceramah dan ahli panel seperti Ketua Pasaran Modal US Tiger Securities, Tony Tian dan Pengerusi Bersama Marcum Asia CPAs LLP, Drew Bernstein.

Jemaah personaliti yang dihormati itu menyediakan platform untuk para peserta, yang merupakan C-suite dan ahli lembaga pengarah syarikat tersenarai di seluruh dunia, untuk memupuk hubungan strategik.
Persidangan tersebut ditaja oleh US Tiger Securities, Boustead Securities, Hunter Taubman Fischer & Li LLC, Marcum Asia CPAs LLP, Sichenzia Ross Ference Carmel LLP, Winston & Strawn dan Ortoli Rosenstadt Ye LLP.
“Kami berbesar hati persidangan tersebut diterima baik dan memenuhi matlamat untuk memberikan pandangan komuniti pelaburan mengenai pasaran modal AS.
“Bagi pihak VCI Global, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penaja yang sudah pasti menyumbang kepada kejayaan persidangan ini,” kata Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif VCI Global, Datuk Victor Hoo.
Maklumat lanjut berkenaan VCI Global boleh dilayari di laman web https://v-capital.co/. - DagangNews.com
