Seorang personaliti media sosial, Adeline Chang, telah dikenakan denda sebanyak RM7,000 selepas mengaku bersalah memuat naik komen bersifat menghina bersama gambar seorang kanak-kanak secara dalam talian, lapor Sin Chew.
Chang, 24, didakwa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Sepang, Ahmad Fuad Othman, yang turut menetapkan hukuman penjara selama enam bulan sekiranya denda itu gagal dibayar.
Ketika prosiding, Chang meminta agar telefon bimbitnya dipulangkan, namun dimaklumkan bahawa dia perlu membuat permohonan rasmi melalui peguamnya.
Pertuduhan ke atas Chang dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian. Seksyen ini memperuntukkan hukuman maksimum denda RM50,000, penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Peguam Chang, Rhastdan Abdul Wahab, merayu agar hukuman lebih ringan dikenakan memandangkan ia merupakan kesalahan pertama Chang dan dia juga telah menjalani sesi kaunseling.
“Anak guam saya merupakan anak sulung dalam keluarga dan tiada pendapatan tetap. Dia memperoleh kira-kira RM1,000 hingga RM2,000 dengan menulis ulasan dalam talian,” kata Rhastdan.
Tambahnya lagi, Chang sepatutnya menjalani pembedahan tiroid tetapi terpaksa menangguhkannya kerana masalah kewangan keluarga.
Pada Jun lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah merakam kenyataan Chang dan merampas telefon bimbitnya berhubung satu hantaran jelik terhadap kanak-kanak di Facebook.
The post Personaliti media sosial didenda RM7,000 kerana hantar komen menghina appeared first on The Reporter.




