SHAH ALAM, 23 MAC: Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Selangor (Pitas) bakal membuka pusat perguruan tahfiz bernilai RM5 juta bagi melahirkan tenaga pengajar profesional yang mahir mengendali semua aspek termasuk psikologi.
Pengerusinya Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa berkata pusat setinggi tiga tingkat yang didirikan di tanah wakaf di Sungai Tua, Gombak dijangka siap menjelang 2027 bakal menjadi pusat perguruan tahfiz pertama negara.

“Pitas komited mendirikannya sebab mahu bakal guru tahfiz memiliki kemahiran dalam menjaga anak tahfiz. Kita mahu selaraskan termasuk dari segi pelajaran, pengaran dan penilaian.
“Pusat ini perlu dibangunkan segera sebab guru tahfiz mempunyai pelbagai latar belakang kerana mereka belajar di tempat berbeza. Ada di Turki, Pakistan, Mekah dan Malaysia jadi tidak mahu mereka bawa budaya sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penutup Ijtimak Huffaz Selangor ke-18 dan sambutan jubli perak Pitas di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Sementara itu, EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah yang merasmikan majlis berkenaan berkata Kerajaan Negeri memberi komitmen penuh dalam pembangunan pelajar serta sekolah tahfiz demi syiar Islam.
“Kenapa kita komited? Sebab kita mahu lahirkan hufaz. Mereka ini diajar dan belajar mengenai kebenaran yang terkandung dalam al-Quran. Jadi kita mahu lahirkan generasi al-Quran yang bawa kebenaran,” katanya.
Terdahulu, majlis berkenaan disertai kira-kira 2,000 pelajar dari ratusan sekolah tahfiz serata Selangor.

The post Pertama di Malaysia, pusat perguruan tahfiz di Gombak lahir pengajar mahir appeared first on Selangorkini.

