Pertama kali berlakon filem! MB Kedah pegang watak seorang panglima, tak ambil bayaran

LocalEntertainment
20 Apr 2026 • 3:30 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bakal mencuri perhatian apabila tampil buat kali pertama sebagai pelakon menerusi filem The Keris yang dijadualkan tayang Julai ini.

Pengalaman baru buat diri

Memetik laporan daripada Harian Metro, Sanusi memaklumkan penampilan khas tersebut memperlihatkan beliau memegang  watak seorang panglima yang meniup semangat kepada pesilat dalam menghadapi pertarungan, sekali gus membawa elemen kepahlawanan Melayu yang diinspirasikan daripada tokoh silam.

“Ini pengalaman baharu dalam hidup saya. Watak saya sebagai seorang panglima yang datang memberi semangat kepada pesilat, termasuk seorang pesilat yang akan bertarung dengan jaguh dari luar negara.
“Semangat kepahlawanan Hang Tuah itu dijelmakan dalam The Keris, peranan saya adalah membawa semangat itu kepada anak muda yang terbabit dalam seni silat. Nak tengok saya berlakon, jom tonton The Keris,” katanya.

 

Image from: Pertama kali berlakon filem! MB Kedah pegang watak seorang panglima, tak ambil bayaran

Foto: Urus Setia Penerangan Darul Aman -UPDA

Akui bukan mudah berlakon

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Poster, Teaser dan Trailer filem berkenaan. Filem arahan Viknes Perrabu itu turut dibintangi Datuk Jalaluddin Hassan, Raja Azrey Raja Kamaruzzaman dan Syazlie Syazz.

Berkongsi pengalaman pertama berlakon, Sanusi mengakui ia bukan mudah kerana memerlukan penghayatan watak yang mendalam, namun tidak terlalu kekok meskipun dirinya lebih selesa sebagai individu ‘real’.

“Berlakon ini susah kerana pelakon perlu menghayati skrip dan watak. Saya ini orang ‘real’, tetapi bila cuba berlakon, tidaklah terlalu kekok.
“Saya terima sebab ia berkaitan budaya Melayu. Kalau watak lain mungkin saya tidak ambil, tetapi ini berkait dengan pahlawan Melayu, saya pun tak ambil bayaran, percuma saja,” katanya.

 

 

Image from: Pertama kali berlakon filem! MB Kedah pegang watak seorang panglima, tak ambil bayaran

Foto: Urus Setia Penerangan Darul Aman -UPDA

Sampaikan mesej positif

Menurutnya, platform perfileman boleh dimanfaatkan untuk menyampaikan mesej positif kepada generasi muda serta memperkenalkan warisan budaya negara.

Tambahnya lagi, penglibatan kru pelbagai kaum dan latar belakang menjadikan filem ini lebih unik dan berpotensi menarik perhatian ramai.

“Banyak pengaruh datang daripada filem, termasuk yang negatif. Jadi, kita gunakan cara sama untuk bawa mesej positif dan budaya kita kepada generasi akan datang.
“Saya harap filem ini berjaya dan mendapat sambutan penonton di seluruh negara,” katanya.

Mengulas peluang untuk terus berlakon, beliau tidak menolak kemungkinan tersebut sekiranya menerima watak yang bersesuaian.

“Kalau ada watak yang baik, saya sedia pertimbangkan. Kehidupan kita ini pun seperti pementasan, cuma bezanya tanpa skrip,” katanya.
Image from: Pertama kali berlakon filem! MB Kedah pegang watak seorang panglima, tak ambil bayaran

Foto: Urus Setia Penerangan Darul Aman -UPDA

Sumber: Harian Metro (Noorazura Abdul Rahman), Facebook Urus Setia Penerangan Darul Aman -UPDA