
SHAH ALAM, 22 JULAI: Bapa dan anak berusia 12 tahun ke atas dipelawa menyertai pertandingan pakaian beragam sempena Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor di Kompleks PKNS di sini.
Ketua jawatankuasa aktiviti pesta buku memaklumkan pertandingan yang diadakan pada 29 Julai jam 9 pagi hingga 12 tengah hari itu menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM1,000.
Menurut Norelmin Sapuan, pemenang tempat pertama bakal menerima wang tunai RM200 diikuti tempat kedua (RM150), tempat ketiga (RM100) dan 12 hadiah saguhati (RM50).
“Penyertaan adalah percuma, bapa dan anak wajib lengkap berpakaian mengikut tema iaitu pakaian tradisional Malaysia yang disediakan oleh peserta sendiri.
“Bagaimanapun, pakaian berlawanan jantina sama sekali tidak dibenarkan dan masa persembahan atau peragaan pula sekurang-kurangnya tiga hingga lima minit,” katanya ketika dihubungi.

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Siti Yusrina di talian 017-295 5303 atau Amirah 013-220 6598.
Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) bakal berlangsung dari 27 hingga 30 Julai ini.
Acara yang julung kali diadakan di negeri ini akan disertai lebih 100 pempamer terdiri daripada penerbit dan penulis buku genre kanak-kanak yang menghasilkan karya untuk peringkat umur bawah 18 tahun.

Pada 30 Mei Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan buat julung kali Kerajaan Negeri menganjurkan pesta buku kanak-kanak bagi menggalakkan budaya membaca selain pengembangan industri.
Sejak 16 tahun lalu, Kerajaan Negeri mengadakan Pesta Buku Selangor dan dijenamakan sebagai Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) mulai tahun lepas yang merekodkan kehadiran lebih 200,000 pengunjung.
Berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam, pesta buku berkenaan melibatkan 225 pempamer tempatan dan antarabangsa antaranya United Kingdom, Turki, North Macedonia, Korea Selatan dan Mesir.
The post Pertandingan pakaian beragam di Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor appeared first on Selangorkini.
