
KOTA BELUD: Pertembungan antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) disifatkan sebagai langkah terbaik bagi memberi kuasa sepenuhnya kepada rakyat dalam menentukan mandat selepas pilihan raya itu nanti.
Timbalan Setiausaha GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pertembungan dua gabungan itu sekali gus mengelak sebarang dakwaan bahawa kemenangan mana-mana pihak hanya bergantung kepada kekuatan parti tertentu.
“Saya bersetuju dengan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Pengerusi BN Sabah) bahawa GRS dan BN harus bertembung dalam PRN akan datang ini.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Dengan menyerahkannya kepada rakyat, siapa pun yang menang nanti tiada lagi tuduhan bahawa parti A menang disebabkan kekuatan parti B dan tidak ada lagi tuduh menuduh, khianat mengkhianati.
“Biarlah kekuatan parti yang bertanding itu adalah kekuatan parti tersebut bersandarkan kepada sokongan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tempasuk, di Dewan Al Arsad, di Kampung Kaguraan di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Bung Moktar bahawa kerjasama BN dengan GRS hanya akan dipertimbang selepas PRN nanti.
Tegas Ahli Parlimen Papar itu lagi, hasrat Bung Moktar itu wajar ditunaikan tanpa membelakangkan pendiriannya sebagai Ketua Umno Sabah.
“Semua pihak perlu tunaikan hajat Bung Moktar ini dan tidak ada sesiapa, walau di peringkat mana sekalipun, wajar membelakangkan pendirian beliau sebagai Ketua Perhubungan Umno Sabah yang berautonomi,” katanya.
Bagaimanapun, Armizan dalam pada itu berkata, kenyataannya itu adalah pandangan peribadinya sendiri dan ia tidak mewakili GRS secara rasmi.
“Setakat ini saya tidak bercakap mewakili GRS secara rasmi dan ini adalah pendapat peribadi saya. Saya bersetuju hajat Bung Moktar perlu ditunaikan.
“Saya melihat hari ini kerajaan berjalan dengan amat baik melalui kombinasi kerjasama sedia ada. Saya fikir, melihat kepada suara dan sentimen pemimpin dan penyokong GRS di akar umbi, mereka memang mahu bertembung dengan BN,” katanya.
Katanya lagi, pendirian GRS setakat ini sebagaimana yang pernah disebut oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, adalah gabungan itu terbuka untuk meneruskan kerjasama parti-parti teras yang membentuk kerajaan negeri iaitu GRS dan Pakatan Harapan (PH).
“Kita wajar menghargai pendirian PH yang mengutamakan kestabilan dengan menolak tindakan cubaan pihak tertentu menggulingkan kerajaan negeri sebelum ini dengan memilih untuk menyokong Datuk Seri Hajiji kekal sebagai Ketua Menteri.
“Kebersamaan dalam kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan tidak seharusnya dilihat sebagai penghalang. Kerana pertama, tidak ada terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) pembentukan kerajaan Perpaduan bahawa kerjasama itu wajib dipanjangkan ke peringkat negeri dan PRN ini memilih kerajaan negeri, bukannya Kerajaan Persekutuan.
“Kedua, apa yang penting adalah komitmen semua sebagaimana dalam MOU Kerajaan Perpaduan adalah pihak-pihak yang terlibat wajar memastikan Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan perlu dikekalkan sehingga tempoh yang ditetapkan.
“Ketiga, pertembungan sesama parti yang menganggotai Kerajaan Persekutuan pada pilihan raya negeri bukan perkara baharu. Pernah berlaku di Sabah satu masa dahulu, dan berlaku juga di Melaka dan Johor dalam PRN yang lalu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, soal bekerjasama atau sebaliknya, tidak seharusnya dijadikan polemik berpanjangan.
“Tetapi rakyat perlu diberi ruang seluas-luasnya untuk menilai dan membuat pilihan,” tegasnya.
